SAO PAULO – Wilayah Amazon di Brazil merekodkan kebakaran hutan paling banyak pada Jun dalam tempoh 14 tahun, menurut Institut Penyelidikan Angkasa Negara (INPE), lapor Agensi Berita Anadolu.
Satelit INPE telah mengenal pasti 2,308 lokasi kebakaran meningkat 2.6 peratus berbanding Jun tahun lalu.
Rekod tertinggi sebelum ini dicatatkan pada Jun 2007, sebanyak 3,519 kebakaran.
Pada 2004, sebanyak 9,179 kebakaran berlaku, rekod tertinggi untuk Jun, tetapi inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini berjaya membendung kemusnahan hutan.
Bulan Jun menandakan bermulanya musim kering di Amazon.
Greenpeace Brasil berkata pertambahan kebakaran hutan Amazon berkaitan dengan aktiviti penebangan hutan dan perubahan iklim, selain “dasar antialam sekitar” pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro seperti yang didakwa pertubuhan bukan kerajaan.
“Rekod untuk Jun ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, berikutan dasar antialam sekitar (kerajaan sekarang),” kata jurucakap kempen Greenpeace Brasil Amazon, Romulo Batista. – Bernama