Home Ekonomi MEF cadang moratorium pinjaman secara automatik bukannya secara permohonan

MEF cadang moratorium pinjaman secara automatik bukannya secara permohonan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kepada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk menjadikan moratorium pinjaman secara automatik dan bukannya melalui permohonan.

“Dan sepatutnya tidak perlu caj faedah atau lain-lain caj yang berkaitan dengannya,” kata Presiden Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata MEF turut berharap kemudahan untuk moratorium pinjaman tidak terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Bahkan sebelum banyak syarikat boleh memohon bantuan dalam program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan baru-baru ini, kini PKPD pula dilaksanakan.

“Kami berharap institusi perbankan akan terus meluluskan moratorium kepada mereka yang memerlukan kerana majikan, pekerja dan rakyat tidak mampu menunggu lebih lama lagi,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 buah mukim di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur selama 14 hari, bermula 3 hingga 16 Julai. – MAlaysiaGazette