Home Nasional MoT kemas kini garis panduan sepanjang PKPD

MoT kemas kini garis panduan sepanjang PKPD

Hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki teksi atau kenderaan e-hailing sepanjang PKPD.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengemaskini garis panduan kepada agensi-agensi di bawahnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di WP Kuala Lumpur.

PKPD itu bermula esok sehingga 16 Julai 2021.

Perkhidmatan kaunter JPJ, APAD, Puspakom dan JLM

– Dalam Siaran Media bertarikh 30 Jun, MOT telah mengumumkan pembukaan semula perkhidmatan kaunter semasa Fasa Pertama PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk transaksi/perkhidmatan yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.

– Walau bagaimanapun, dalam tempoh PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur, semua perkhidmatan kaunter yang dikendalikan oleh agensi di atas akan ditutup kecuali kawasan di Kuala Lumpur yang berada di luar zon PKPD.

Orang ramai digalakkan merujuk laman rasmi media sosial atau laman sesawang agensi-agensi yang berkaitan untuk keterangan lebih lanjut.

Surat kelulusan perjalanan dari SMILE

– Surat pengesahan pengoperasian melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) MOT masih tergunapakai sepanjang tempoh ini. Pemohon tidak perlu memuat turun surat baharu jika memiliki surat pengesahan sebelumnya.

Kenderaan persendirian

– Hanya satu orang dari setiap isi rumah dibenarkan menggunakan kenderaan mereka sendiri (tanpa mengira kapasiti tempat duduk) untuk mendapatkan barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.

Kebenaran polis diperlukan (mengikut kes/situasi) untuk penambahan penumpang bagi tujuan yang dibenarkan.

– Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS sebagai bukti.

Maksimum tiga orang sahaja termasuk pemandu dibenarkan keluar untuk mendapatkan penjagaan kesihatan, perubatan atau bagi tujuan vaksinasi.

Perkhidmatan teksi dan e-hailing

– Hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki teksi atau kenderaan e-hailing.

Pengangkutan awam dan industri logistik

– Perkhidmatan kereta api, KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, Monorel, bas dan feri dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50%.

– Lapangan terbang dan pelabuhan boleh terus beroperasi seperti biasa.

Pengangkutan perdagangan melalui darat, udara dan laut adalah perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi semasa PKPD termasuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) atau apa-apa aktiviti yang menjadi rantaian kepada mana-mana perkhidmatan perlu.

– Perkhidmatan pelabuhan dan perusahaan yang berkaitan termasuk limbungan kapal, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemukalan komoditi, pemaliman serta pemunggahan (loading dan unloading) di pelabuhan adalah dibenarkan.

Aktiviti loading dan unloading di luar kawasan pelabuhan semasa PKPD hanya dibenarkan untuk perkhidmatan perlu yang diluluskan.

– Jumlah penumpang yang dibenarkan menggunakan kenderaan komersial dan logistik adalah tertakluk pada pendaftaran kenderaan masing-masing.

– MalaysiaGazette