KUALA LUMPUR – Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tahu ramai yang marah dan memintanya memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai kempen bendera putih.
Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataannya sebelum ini kerana ia adalah pandangannya, walaupun siapa pun berhak menolak cadangan berkenaan.
”Pandangan ramai adalah satu pandangan yang diterima ramai. Pandangan kedua adalah pilihan saya. Tulisan saya sentiasa tegar untuk mengajak rakyat Malaysia berfikir secara dalam dan teliti.
”Ia demi kesejahteraan negara. Seruan saya, lawan Covid-19 dengan kesatuan, doa dan usaha yang berterusan. Atau mudahnya, lawan Covid-19 dengan cara anjuran agama,” kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu.
Baru-baru ini, Nik Abduh menerusi Facebooknya berkata, jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih.
Sebaliknya, mengangkat tangan berdoa kepada-Nya kerana itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan.
Kenyataan Nik Abduh itu turut dikecam oleh orang ramai kerana kempen bendera putih itu dianjurkan untuk membantu rakyat dalam kesusahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Nik Abduh berkata, cadangan kekal cadangan, ia bukan menjadi kebenaran hanya kerana viral.
”Siapa pun berhak menolak cadangan. Yang ditegah adalah menolak kebenaran.
”Viral bukan panji kebenaran. Sebahagiannya kebaikan dan bagus sekali. Dan saya sentiasa yakin, sebahagian besarnya adalah hasutan dan tipudaya iblis.
”Ia mendorong kenistaan, kebencian dan perlecehan terhadap sesama insan. Janganlah ketika Allah menurunkan bencana Covid-19, Allah mengangkat akhlak, adab dan susila daripada kita semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette