KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan bersidang pada 26 Julai ini, sejajar titah Yang di-Pertuan Agong agar Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang bagi menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, surat pemakluman tarikh mesyuarat berkenaan sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini.
“Mesyuarat ini akan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli PAC serta ahli ex officio jawatankuasa ini bagi membincangkan jadual mesyuarat PAC akan datang, terutama membabitkan kes tertangguh serta mengemas kini jadual mesyuarat.
“Bagaimanapun, jawatankuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat secara hibrid sekiranya tidak melanggar Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengesahkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos bagi menjunjung titah Agong.
Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan Kabinet dalam mesyuarat 7 Julai ini. – MalaysiaGazette