Home Politik Pakatan Harapan gesa semua MP ke Parlimen 19 Julai ini

Pakatan Harapan gesa semua MP ke Parlimen 19 Julai ini

Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
PRN Johor menjadi ‘makmal’ bagi parti-parti dalam Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Harapan menggesa semua ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini.

Tindakan itu perlu diambil sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassn tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlineb selewat-lewatnya 5 Julai ini.

Gesaan tersebut dalam satu kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Majlis berkenaan juga dalam masa sama menyifatkan tindakan kerajaan sebagai satu penderhakaan bukan sahaja kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi juga kepada Raja-Raja Melayu yang telah menzahirkan pandangan berhubung pembukaan segera sidang Parlimen.

“Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan,” tegas kenyataan itu.

Menurut Majlis Presiden PH, pihaknya meneliti dan memandang serius kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Jun 2021.

Katanya, kenyataan itu amat bersejarah kerana merupakan kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang.

“Majlis Presiden turut meneliti kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun 2021, bahawa satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Majlis PH, menurut ketiga-tiga pempimpin itu kesal sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

Katanya, isu pandemik dan masalah rakyat perlu dibahaskan segera selain menolak isu politik apabila melihat kepada keadaan rakyat yang semakin tertekan sehingga ada yang bertindak membunuh diri dan mengibarkan bendera putih sebagai tanda terdesak kerana tekanan hidup.

“Sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021 ini mesti membahaskan krisis pandemik COVID-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 29 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.