Home Dunia Bukan mencari nama

Bukan mencari nama

Sepanjang perang 2014, selama 51 hari bangunan sekitar rumah saya dibom dan nyawa berada di hujung tanduk tetapi kami tetap juga keluar membuka kem-kem pelarian sementara kerana mereka perlu makan, perlu ada tempat tidur. Dalam perang itu juga rumah keluarga isteri dibom dan lebih memilukan, adik ipar saya telah syahid.

Tidak mudah mengurus bantuan berpuluh juta ringgit hasil sumbangan ratusan pertubuhan bukan kerajaan, apatah lagi ia projek besar dan memakan masa.

Sekejap-kejap ada sahaja yang meminta dikemas kini, minta laporan dan dengan kudrat tulang empat kerat, tidak semua hajat itu dapat dipenuhi.

Kalau ada pilihan, saya akan angkat tangan dan tinggalkan saja Gaza, cari ceruk mana-mana dan duduk berehat setahun dua.

Tetapi, jiwa dan raga saya di sini, tempat yang tidak boleh datang berziarah, keluar masuk sesuka hati.

Ia suatu tempat yang begitu istimewa dan telah menjadi sebahagian dari darah daging.

Sebelum saya berkahwin dengan orang Gaza pada 2016, 300 orang anak yatim yang di bawah Cinta Gaza Malaysia pada tahun 2013 panggil saya Baba.

Saya ziarah mereka rumah ke rumah, sambut hari lahir mereka, buat kejutan ke sekolah, usap kepala mereka sampai mereka lebih tinggi dari saya.

Selepas 10 tahun ia menjadi negara kedua.

Anak-anak Gaza adalah anak-anak saya. Pemuda-pemudi Gaza adik-beradik saya. Warga tua Gaza adalah ibu dan bapa saya dan memang saya suka beri khidmat kepada mereka sebab rasa macam berbakti kepada Che dan Abi saya sendiri.

Atok saya sebelah ibu dan ayah, kedua-duanya meninggal semasa saya di Gaza dan tidak dapat pulang kerana ketika itu berlaku perang.

Adik-beradik, tiga orang telah berkahwin dan saya hanya membelek gambar mereka di Whatsapp keluarga sambil air mata meleleh kerana sebagai anak sulung lelaki, tidak dapat bersama mereka kerana ketika itu sempadan masih ditutup.

Masih teringat-ingat ketika isteri saya yang mengandung anak pertama. Dia keguguran dan dalam keadaan janin anak agak sempurna yang jatuh dan terburai di depan mata di lantai bilik air.

Puncanya, dua minggu sebelum kejadian, dia terpaksa merangkak di atas tanah menyusup bawah pagar di sempadan Mesir dan berasak-asak dengan beratus-ratus penduduk Palestin untuk ke tempat menunggu, setelah berhari-hari menanti bersama deretan kereta berkilometer panjang di pos pemeriksaan di Terusan Suez dan puluhan lagi sebelum sampai ke Al Arish.

Kencing di semak dan tidur di birai jalan! Begitu penduduk Gaza bertarung nyawa untuk masuk ke tanah air mereka sendiri,

Tidak mudah untuk memasukinya seperti sesetengah orang fikirkan.

Sepanjang perang 2014, selama 51 hari bangunan sekitar rumah saya dibom dan nyawa berada di hujung tanduk tetapi kami tetap juga keluar membuka kem-kem pelarian sementara kerana mereka perlu makan, perlu ada tempat tidur.

Dalam perang itu juga rumah keluarga isteri dibom dan lebih memilukan, adik ipar saya telah syahid.

Pada 2018 berminggu-minggu saya bersama penduduk ke perarakan aman The Great Return March di sempadan walaupun di depan mata pemuda ditembak.

Dia gugur di jalan Allah dalam keadaan kaki dan tangan putus.

Semuanya saya saya kongsi di akaun lama Facebook.

Apapun yang telah, sedang dan akan berlaku, dengan izinNya, kami tetap bertahan, di sini, di bumi Anbiya’

Nadir Al Nuri