KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak menyokong langkah menaikkan bendera putih jika ia ada niat memburukkan kerajaan.
Lainlah jika tindakan itu dibuat kerana benar-benar mahu mendapatkan bantuan dan bukannya dengan niat lain, kata presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Ini kerana beliau mendapati terdapat parti politik khususnya daripada pembangkang cuba menimbulkan isu lain berhubung bendera putih tersebut,
“Bendera putih itu bagi pendirian Parti Gerakan adalah satu yang perlu dilihat daripada segi niat untuk menaikkannya. Jika niatnya untuk mendapatkan bantuan memang tiada halangan dan kita akan arahkan semua pemimpin-pemimpin Gerakan untuk beri bantuan kepada isi rumah yang memerlukan.
“Tak kiralah anda naikkan bendera apa pun putih ke, merah ke, asalkan kamu nak dapatkan bantuan dan memang susah, Gerakan akan hulurkan bantuan.
“Tetapi jika niat itu adalah kerana hendak menjatuhkan kerajaan dan bukan mendapatkan bantuan memanglah parti Gerakan tidak setuju bahawa perkara itu atau kempen untuk jatuhkan kerajaan dibuat,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini.
Beliau ditanya mengenai pandangannya berhubung isu bendera putih yang ketika ini sedang hangat diperkatakan di laman sosial.
Dominic berkata, usaha oleh partinya menghulurkan bantuan kepada rakyat telahpun dilakukan sejak sebelum bermulanya pandemik Covid-19 di negara ini.
Ia bermula dengan pemberian bantuan kepada golongan gelandangan, Program Kasih Kenyang dan banyak lagi bantuan-bantuan lain.
Justeru kata beliau, Gerakan sentiasa medekati rakyat dan akan sentiasa bersama dalam apa jua keadaan sekalipun lebih-lebih lagui ketika negara berdepada dalam situasi sekarang.
Terdahulu pada sidang media itu, Dominic memgumumkan Pelancaran ‘Gerakan Careline’ yang merupakan inisiatif untuk orang awam membuat sebarang aduan berkaitan masyarakat dan sosial.
Katanya, orang ramai boleh membuat aduan sekiranya di kampung-kampung atau tempat tinggal mereka mempunyai keluarga yang susah seperti kekurangan bekalan makanan dan Gerakan akan menghulurkan bantuan.
Tambahnya, Gerakan berjanji akan membantu mereka itu secepat mungkin kerana ia merupakan tanggungjawab parti untuk sentiasa berkhidmat demi rakyat.
Ujarnya lagi, Gerakan Careline sentiasa dibuka iaitu daripada Isnin hingga Ahad dan waktu operasi bermula daripada pukul 10 pagi hingga 4 petang.
“Untuk sementara dan fasa pertama ini, Gerakan Careline hanya beroperasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Gerakan berharap dengan adanya Gerakan Careline ini, serba sedikit dapat membantu mereka yang betul-betul terkesan,” katanya. – MalaysiaGazette