KUALA LUMPUR – “Kita tidak mahu mereka (kilang) tutup semalam tetapi dibuka semula operasi mereka pada hari Isnin, Selasa dan Rabu ini, kita mahu memastikan tidak berlaku nanti.”
Itu tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada kilang yang dikenakan tindakan sepanjang penguatkuasaan Op Patuh Mega semalam.
“Kesemua kilang-kilang dan premis yang menutup operasi semalam akan disiasat lanjut untuk memastikan mereka tidak membuka semula pada hari lain,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, semasa pemeriksaan, pihaknya mendapati kebanyakan premis kilang dan perniagaan yang memperoleh permit kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak membuka operasi semalam dan bermakna mereka mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan.
Menurutnya, itu adalah satu berita baik yang memudahkan kerajaan dan pihak berkuasa melandaikan lekuk graf penularan Covid-19.
“Justeru kita bukan hanya mahu melihat mereka yang melakukan kesalahan SOP tetapi juga cuba mempelajari daripada kilang yang beroperasi dengan mematuhi SOP serta mengamalkan amalan terbaik mengekang Covid-19 di tempat kerja mereka,” ujar beliau.
Sepanjang Op Patuh Mega besar-besaran diadakan serentak seluruh negara semalam, katanya, sebanyak 213 kilang dan premis perniagaan telah dikompaun menerusi 19,192 pemeriksaan yang dilakukan terhadap kilang perindustrian dan juga premis perniagaan berbanding hanya 13,904 pemeriksaan dilaksanakan pada 24 Jun lalu.
Tegas Ahli Parlimen Larut itu lagi, KDN akan terus mengkordinasikan Op Patuh Mega besar-besaran dan serentak di seluruh negara selaras yang terkandung dalam Pelan Pemulihan Negara.
Operasi Patuh Mega berkenaan membabitkan seramai 26,504 anggota daripada 23 agensi penguat kuasa pematuhan prosedur Operasi Standard Covid-19 yang diketuai dan dikoordinasikan oleh Polis Diraja Malaysia bersama agensi penguatkuasaan lain.
“Menerusi Op Patuh semalam kita berjaya mempertingkatkan lagi jumlah pemeriksaan sehingga mencecah 19,192. Daripada jumlah itu sebanyak 81 adalah asrama penempatan pekerja turut diperiksa anggota penguat kuasa yang diketuai oleh 157 ketua polis daerah di seluruh negara sebagai ground commander.
“Kesemua 213 kompaun itu membabitkan pelbagai kesalahan yang dilakukan pemilik kilang dan premis perniagaan dan sembilan premis diarah ditutup,” katanya.
Beliau turut menyatakan operasi yang dilaksanakan ketua polis daerah seluruh negara berkenaan dengan kerjasama agensi bersepadu yang lain di bawah KDN berjalan lancar dan laporannya diberikan secara live menerusi media sosial Facebook dan berjaya ditonton oleh tujuh juta orang.
“Ia memberi satu isyarat dan mesej jelas rakyat mahukan kejayaan pihak berkuasa membendung pesalah SOP secara berkesan.
“Kita akan teruskan Op Patuh Mega ini dan pada masa yang sama akan mengumumkan strategi lain memandangkan hasil pemerhatian kita sepanjang operasi semalam ada perkara baharu mungkin terpaksa diambil nanti untuk tinjauan lebih berkesan.
“Tempat-tempat pembinaan rumah kongsi yang dihuni pekerja asing walaupun mereka tidak bekerja akan terus dipantau menerusi Op Patuh mengambil kira kesan yang bakal menyusul sekiranya mereka keluar dari kawasan itu dan satu kaedah pemeriksaan SOP terbaik ke atas golongan ini akan ditentukan kelak,” tegasnya.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KPD diberi kuasa komander operasi mega dalam Op Patuh mulai esok – Hamzah
“Kita dapati kilang dan perniagaan yg dapat kelulusan MITI menutup perniagaan mereka semalam, ini tanda mereka mematuhi SOP. Dan itu berita baik”.. are sure about that dato? Jgn lurus sgt. Diorg tutup sbb ada benda nak sorok la dato oi. Cuba buat pemeriksaan semula sehari dua lagi. Kalau diorg buka dan patuh, baru ok. Tp kalau tutup semula masa nak pergi periksa, paham paham ja la k. Tarik balik ja la lesen MITI kilang tu.