BANGKOK – Setiap hari di ‘dapur sementara’ di Wat Thewa Sunthon, Bangkok, sekumpulan sukarelawan sibuk menyiapkan makanan untuk diagihkan kepada mereka yang terjejas wabak COVID-19.
Seawal 7 pagi dengan memakai pelitup muka, sarung tangan dan topi perubatan, sukarelawan sudah mula sibuk menyediakan bahan-bahan untuk dimasak.
Sejurus semua bahan diperlukan siap, pada 9 pagi sukarelawan mula memasak untuk juadah tengah hari.
Setiap hari, kira-kira 3,000 pek makan tengah hari dan dan malam disediakan oleh sukarelawan daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat itu.
Sukarelawan itu bekerjasama dengan “Up for Thai”, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh pengarah filem dan televisyen Thailand, Chalermchatri Yukol.
Chalermchatri, 35, diuji positif COVID-19 pada April lalu dan kini sudah pulih, namun, tidak buat rakan baiknya Kunlasub Wattnaphon yang meninggal dunia akibat virus itu.
Kunlasub, bekas pemain E-Sport, menjalani kuarantin kendiri di rumah selama lima hari sementara menunggu ambulans membawanya ke hospital, malangnya, ia sudah terlambat dan beliau meninggal dunia dua hari kemudian.
“Kejadian itu membuatkan saya dan rakan-rakan terfikir sejenak…kenapa saya masih hidup dan dia (Kunlasub) pergi buat selamanya. Kami rasa jika kami hanya menyerahkan semata-mata kepada kerajaan, mereka akan terbeban.
“Jadi, mengapa tidak kita sebagai rakyat Thailand dan penduduk di Bangkok bersama-sama menghulurkan bantuan apa yang termampu terutamanya kepada golongan yang terkesan dan amat memerlukan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
“Up for Thai” diwujudkan pada April, dinamakan sempena nama panggilan Kunlasub – Up. Sejak ditubuhkan sekurang-kurangnya 45 komuniti di Bangkok sudah dibantu setakat ii.
“Ketika kami memulakan inisiatif itu, kami meminta sumbangan daripada orang ramai menerusi media sosial. Kami menghubungi sektor swasta. Kami mendapat maklum balas yang baik. Sumbangan banyak diterima,” kata Chalermchatri.
Dapur utama di Wat Thewa Sunthon menyediakan kira-kira 3,000 pek makanan sehari, disediakan oleh 150 sukarelawan manakala empat lagi dapur kecil di kuil menyediakan 2,000 pek makanan sehari.
“Kami mahu luaskan lagi inisiatif ini untuk membantu lebih ramai orang. Kami merancang untuk mewujudkan 10 hingga 20 dapur lagi,” katanya.
Pada masa ini, Chalermchatri berkata “Up for Thai” juga menyediakan bahan keperluan asas seperti beras, telur dan sayur-sayuran, diedarkan kepada masyarakat untuk keperluan selama seminggu.
“Sehingga kini, terdapat lima komuniti yang dibantu di bawah inisiatif ini,” katanya.
Selain itu “Up for Thai” juga berfungsi sebagai pusat maklumat sehenti COVID-19 menerusi pelbagai platform media sosial – Facebook, Twitter, Instagram dan Line yang menyalurkan maklumat kepada orang ramai.
“Kami mempunyai kira-kira 150 sukarelawan. Mereka akan menjawab soalan di media sosial, termasuk membantu mencari ambulans dan hospital untuk pesakit COVID-19,” katanya sambil menambah sukarelawan ini bekerja dari rumah.
Pesara, Tassaneeya Visupakarn yang menyertai ‘Up for Thai’ berkata, beliau gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan.
“Kami melalui masa yang mencabar tetapi semua sukarelawan berusaha buat yang terbaik untuk membantu dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Bagi Chalermchatri pula, tiada apa yang paling menggembirakan apabila dapat melihat mereka yang dibantu gembira.
“Ucapan terima kasih daripada anak-anak serta sokongan orang ramai membuatkan hasil pengorbanan dan penat lelah kami terbayar,” katanya.- BERNAMA