Home Nasional ‘Reban ayam Siam’ aktif masa PKP lumpuh

‘Reban ayam Siam’ aktif masa PKP lumpuh

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan memeriksa passport warga asing ketika Op Patuh PDRM di Kondominium D'Alamanda, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Mempromosi diri menerusi laman sosial dengan mengiklankan gambar wanita cantik selain menyediakan khidmat penghantar antara modus operandi sindiket pelacuran yang dikesan di ibu kota.

Ia terbongkar apabila perkhidmatan ‘ayam Siam’ itu yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilumpuhkan polis hari ini.

Polis berjaya melakukan satu serbuan di sebuah unit rumah di Kondominium mewah di Pudu sebelum berjaya menahan pelacur berusia 24 hingga 32 tahun, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Menurutnya, kesemua wanita Thailand itu mempromosi khidmat seks menerusi Wechat, Instagran dan Whatsapp untuk mencari pelanggan.

“Wanita terbabit menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM200 manakala RM50 daripadanya dibayar kepada lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter (penghantar).

“Wanita berkenaan akan mencari pelanggan menerusi media sosial dan menggunakan transporter untuk ke lokasi yang ditetapkan pelanggan sebelum menawarkan seks.

“Mereka menjadikan unit kondominium berkenaan sebagai reban untuk menyembunyikan kegiatan mereka dari mata pihak berkuasa dan bergerak secara individu ke lokasi pelanggan sebelum menawarkan khidmat seks,” katanya ketika ditemui lokasi serbuan sejurus tamat operasi Ops Patuh dan Op Pantau hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika Op Patuh PDRM di Kondominium D’Alamanda, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021

Tambah Abd Jalil, kesemua wanita yang ditahan itu didapati masuk ke dalam negara ini dan tinggal sejak setahun lalu.

Pemeriksaan lanjut kesemuanya sudah tamat tempoh pas perjalanannya.

Katanya, polis juga menyiasat kesemua pelacur berkenaan di bawah Akta Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) kerana mengesyaki mereka mungkin menjadi mangsa eksploitasi seks.

“Saya rasa sebahagian daripada wanita itu mungkin dieksploitasikan dan dipaksa untuk melakukan kegiatan ini kerana saya lihat ada beberapa orang wanita menangis setelah ditangkap tadi.

“Kita juga akan berhubung dengan kedutaan negara kesemua wanita pelacur berkenaan untuk mendapatkan bantuan untuk siasatan dan tindakan lanjut seperti pengurusan dokumen dan penghantaran balik kesemua wanita berkenaan jika benar jadi mangsa dieksploitasi dalam aspek penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Polis juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di rumah ini yang bertindak sebagai transporter,” katanya.

Lelaki tempatan dipercayai Transporter ‘ayam Siam’ ditahan bersama wanita warga asing ketika Op Patuh PDRM di Kodominium D’Alamanda, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 JULAI 2021

Menurutnya, transporter yang ditemui mendakwa permintaan terhadap pelacur warga asing masih ada dalam kalangan lelaki tempatan tidak kira muda atau tua dalam sepanjang tempoh PKP 3.0 dan Fasa 1 PPN.

“Sehari hanya seorang atau dua wanita sahaja yang ditempah oleh pelanggan untuk khidmat seks dan setiap mereka akan membayar RM50 bagi perkhidmatan menghantar wanita ini ke lokasi pelanggan,” tegasnya.-MalaysiaGazette