KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan perlu lebih lebih menjiwai kepayahan rakyat bawahan supaya lebih kreatif dan inovatif bagaimana hendak membantu rakyat yang berdepan dengan krisis luar biasa pandemik Covid-19 ketika ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihaknya memperjuangkan isu moratorium ini selepas menerima pelbagai maklum balas daripada rakyat tentang ketidakseragaman dari segi penawaran moratorium oleh bank-bank sehingga rakyat dipaksa untuk membayar balik jumlah pinjaman dengan faedah yang lebih tinggi nilainya dan amat membebankan.
Menurutnya, Maybank umpamanya meletakkan syarat jika rakyat memilih moratorium selama tiga bulan maka tempoh pinjaman akan dipanjangkan kepada 12 bulan, manakala jika moratorium enam bulan dikenakan lanjutan pinjaman 24 bulan.
Ini pastinya memberi makna rakyat dipaksa membayar balik pinjaman dengan kadar lebih tinggi jika memilih untuk mengambil moratorium kerana bank mengenakan caj/faedah tambahan.
Asyraf berkata, maknanya bank tidak rugi apa-apa bahkan mengaut keuntungan lebih banyak.
”… atau dengan kata lain bank mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat!,” katanya yang mengulas kenyataan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa bank bakal rugi RM20 bilion jika memansuhkan faedah semasa moratorium.
Sedangkan, kata Asyraf, bank-bank tempatan merekodkan keuntungan bersih berbillion-billion ringgit bank-bank utama bagi tahun kewangan berakhir 2020 walaupun kerajaan melaksanaan moratorium enam bulan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu bermula 1 April 2020- 30 September 2020.
Maybank merekodkan keuntungan bersihRM6.48 bilion, Public Bank RM4.87 bilion, CIMB Bank RM1.19 bilion, Hong Leong Bank RM1.40 bilion, RHB Bank RM1.80 bilion dan Ambank RM0.87 bilion.
Kepada industri perbankan, Asyraf mengingatkan jangan sesekali lupa peristiwa besar krisis kewangan 1997-98, yang mana menyaksikan berbilion wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan bank-bank pada waktu itu bagi tujuan memindahkan pinjaman tak berbayar kepada Danaharta dan Danamodal.
”Apakah ketika rakyat tengah susah bank-bank tidak pula bersedia berkorban pula demi rakyat yang kesempitan ketika ini? Tepuk Dada Tanyalah…….?,” ujarnya. – MalaysiaGazette