NASIB seorang graduan perakaunan seperti saya beginilah, selepas terima skrol tiada kerja tersedia. Terpaksa cari di sana sini siang dan malam. Berbeza betul dengan kawan-kawan graduan perubatan, habis belajar, keluar dari universiti sudah ada jawatan. Masing-masing dapat gelaran doktor. Gaji lebih tinggi berbanding graduan lain seperti kami graduan perakaunan, kejuruteraan, sains sosial dan sebagainya.
Sebab itu saya terpanggil meluahkan rasa apabila doktor berstatus kontrak cuba
melawan arus dan mencabar pemerintah. Mereka tuntut setiap daripada mereka
diserapkan ke jawatan tetap segera.
Yelah, siapa tak mahu dapat kerja. Apatah lagi kalau kerja itu berstatus tetap yang
banyak kelebihan seperti pencen di hari tua. Kalau zaman datuk nenek kita dahulu
mungkinlah orang tak suka kerja ‘gomen’. Tapi zaman sekarang sudah berbeza.
Jawatan kosong ada 100 tempat, yang meminta pula cecah 50,000 orang permohon.
Pandangan peribadi saya sepatutnya golongan doktor kontrak ini terimalah apa yang
kalian sedang dapat sekarang. Nama saja kontrak, tapi kemudahan dan kelebihan
hampir serupa dengan mereka yang tetap.
Walaupun kontrak, gaji setiap bulan masih ada dan masuk ke dalam akaun bank
secara automatik. Tak perlu susah-susah hujung bulan ‘panjat’ bahagian kewangan
meminta gaji atau buat tuntutan.
Ada slip gaji sama seperti mereka yang tetap. Kalau rasa nak beli kereta atau telefon
bimbit canggih, masih boleh selagi mampu. Kalau terasa nak cuti, peruntukan untuk
bercuti sentiasa diberi tiap-tiap tahun seperti yang berjawatan tetap. Kemudahan
perubatan pun tersedia sama seperti yang berstatus tetap. Nak apa lagi?
Jika nak dibandingkan dengan jawatan kontrak skim lain, rasanya ‘jauh panggang
dari api’. Contohnya perjawatan kontrak MyStep yang sekarang ini banyak terpakai
di mana-mana agensi kerajaan. Sudahlah kadar upah gaji itu terlalu kecil hingga ke
paras kemiskinan tegar, tiada pula lain-lain elaun dan keistimewaan.
Mesejnya senang saja, terima seadanya dan bersyukurlah dengan apa yang kita
dapat. Beratus ribu lagi yang berada di luar sana mengharapkan dapat kerja dalam
sektor kerajaan kerana mereka tahu kelebihannya. Kalau dapat kontrak pun mereka
sanggup bekerja, asalkan ada daripada tiada.
Sebaliknya para doktor kontrak sekarang mahu mendesak kerajaan untuk beri
jaminan diserap tetap ke dalam perkhidmatan pula. Mungkin boleh ditetapkan, tetapi
mustahil sekali gus dan di buat dalam masa terdekat.
Setahu saya ia bukan kuasa mutlak Kementerian Kesihatan. Ia melibatkan
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan
Kementerian Kewangan juga. Walaupun seorang yang kerajaan ambil sebagai
anggota tetap, implikasi kewangannya sampai ke hujung usia. Wang yang kita
perlukan besar dan berpanjangan.
Kalau dapat disambung kontrak tahun ke tahun pun bersyukurlah banyak-banyak.
Kenanglah nasib orang sekeliling terutama graduan bidang lain yang lebih sengsara
mahu bekerja dalam bidang yang dipelajari, tetapi tak dapat walau sudah mohon 10
tahun.
Tak mustahil jika kita terus bersyukur dan buat kerja dengan ikhlas, rezeki tak
terduga akan sampai kepada kita suatu hari nanti. Tetapi jika kita bertindak
melawan arus dan cuba berkeras, jangan dikesali nanti kerajaan mengambil
tindakan terhadap kita.
Pada waktu itu, menyesal tak sudah. Mungkin kontrak anda tak disambung lagi dan
nama anda akan disenaraihitamkan dalam perkhidmatan awam sampai bila-bila. Tak
kesiankah kepada pasangan dan anak pinak?
Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Sekadar memberi
nasihat.
Syahmi Aiman Nasaruddin, graduan perakaunan IPTA