SEBERANG PERAI – Ubah suai senjata tiruan jenis gel blaster yang dibeli menerusi platform e-dagang sebelum menjualnya semula pada harga berganda melalui media sosial Facebook serta Instagram.
Itu kegiatan dilakukan seorang pekerja kedai hardware sejak Januari lalu bagi mendapatkan ‘pendapatan tambahan’ dengan alasan tidak tahu ia menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dibongkarkan pihak polis selepas mengesan penjualan yang dilakukan suspek melalui media sosial sebelum menyerbu sebuah stor kedai hardware di Jalan Permatang Pauh, Seberang Jaya di sini semalam.
MalaysiaGazette difahamkan, ketika serbuan dilakukan lelaki berusia 25 tahun yang berasal dari Kulim, Kedah itu sedang memasang senjata api itu untuk dijual kepada pelanggan yang melakukan tempahan melalui media sosial.
Hasil serbuan itu polis merampas lima senjata tiruan terdiri daripada tiga laras raifal jenis HK 416, dua raifal M16 serta ketulan gel blaster dalam dua botol minuman berkabonat.
Difahamkan, suspek mengaku membeli senjata tiruan itu menerusi platform e-dagang dalam negara dan akan dijual semula dengan harga antara RM300 hingga RM750 seunit mengikut permintaan pelanggan di media sosial.
Pihak polis tidak menolak kemungkinan lebih 10 senjata tiruan sudah dijual dalam tempoh suspek menjalankan perniagaan haram ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. – MalaysiaGazette