ALOR SETAR – Polis menjalankan siasatan terhadap seorang ahli Parlimen di Kedah yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 11.36 malam semalam berkaitan kejadian yang gambarnya tular melalui media sosial.
“Siasatan awal mendapati ada beberapa keping gambar dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook.
“Gambar-gambar tersebut memaparkan seorang ahli Parlimen di Kedah terlibat dalam satu program bantuan dan kelihatan beliau tidak mengamalkan SOP yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa program tersebut berlangsung,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 11(1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka mahupun menjaga penjarakan sosial.
Gambar ahli Parlimen bergelar Datuk itu tular di media sosial sejak semalam, memaparkan beliau duduk bersila di atas meja dengan hidangan makanan dan minuman bersama beberapa individu lain pada satu program didakwa pada Jumaat lalu. – Bernama