Home Nasional Segera selesaikan isu pegawai perubatan kontrak – Perdim

Segera selesaikan isu pegawai perubatan kontrak – Perdim

Dr. Ahmad Shukri Ismail

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menggesa pihak berwajib supaya segera memberikan perhatian dan menyelesaikan masalah pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak untuk diberikan jawatan bertaraf tetap.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shuki Ismail berkata, isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama.

Menurut beliau, sektor kesihatan dan perubatan sentiasa diperakui sebagai bidang asas, utama dan penting dalam kehidupan manusia, maka tindakan kerajaan mestilah selari dengannya iaitu sentiasa mengutamakan pengiktirafan dan layanan yang sewajarnya kepada petugas-petugas kesihatan.

”Perdim menyokong sepenuhnya tuntutan untuk penyelesaian isu pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak untuk diberikan jawatan bertaraf tetap

”Sehubungan dengan itu Perdim menyokong ‘Black Monday’ yang dirancang pada 12 Julai ini sebagai tanda protes secara aman terhadap ketidakadilan terhadap pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, Perdim berpendirian tegas bahawa isu ini hendaklah diselesaikan dengan rundingan dan perbincangan, bukan secara mogok, raptai, ‘hartal’, ‘strike’ atau seumpamanya yang bertentangan dengan Kesopanan dan Kesusilaan, yang boleh memudaratkan rakyat dan negara ini. – MalaysiaGazette