Home Nasional Sistem kesihatan semakin genting, sudah sampai masanya kerajaan umum ‘alarm bell’

Sistem kesihatan semakin genting, sudah sampai masanya kerajaan umum ‘alarm bell’

Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa tidak mensasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan betul dan membiarkan perniagaan yang bukan keperluan terus beroperasi untuk melindungi keuntungan pihak-pihak berkaitan.

Laporan di lapangan menunjukkan semakin banyak surat kebenaran beroperasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dikeluarkan kepada syarikat dan membolehkan mereka dibuka semula.

Dalam pada masa, masih tiada ketelusan perihal kilang mana yang dibenarkan untuk terus beroperasi dan mengapa mereka patut beroperasi, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Projek Wawasan Rakyat (POWR).

Akibat daripada keadaaan ini, kelihatannya tidak ada keprihatinan yang sepatutnya sepanjang krisis ini berlaku, terutamanya ada hari-hari jumlah ujian harian turun, tetapi jumlah kes tetap meningkat.

ABIM dan POWR mendakwa, kerajaan dilihat seolah-oleh mengambil sikap tidak acuh walaupun petugas barisan hadapan kesihatan sekarang menggunakan istilah seperti “keruntuhan total” atau “total collapse” untuk menggambarkan tenatnya keadaan sistem kesihatan negara.

Jika sebelum ini petugas barisan hadapan kesihatan enggan bersuara kerana mungkin dikhuatiri akan diambil tindakan.

Namun, sekarang ramai sudah sanggup mengambil risiko sebelum lebih banyak nyawa yang hilang akibat keruntuhan penuh sistem penjagaan kesihatan kita.

Semakin banyak laporan kini muncul mengenai bagaimana hospital kerajaan Covid-19 semakin terbeban, dan tidak mampu memberi pesakit Covid-19 rawatan yang diperlukan.

”Sumber tidak mencukupi dan kepenatan kakitangan perubatan telah berada di tahap yang amat membimbangkan. Terdapat laporan mengenai kekurangan oksigen dan tempat tidur yang tidak mencukupi, kakitangan senior yang tertekan, CPR yang dilakukan di lantai, dan pesakit yang sesak nafas terpaksa menunggu di luar Jabatan Kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelasnya, ketika India menghadapi tahap krisis terbesar menghadapi wabak Covid-19, seluruh dunia sedar akan kepentingan ketelusan dalam pengendalian masalah ini.

Ketelusan mengenai betapa seriusnya masalah yang dihadapi akhirnya memastikan kerajaan India memandang serius masalah ini, dan seterusnya mendapatkan sejumlah bantuan yang amat diperlukan. Ini adalah bagaimana India cuba untuk pulih dan seterusnya mengelakkan keruntuhan total sistem kesihatannya.

Oleh itu, katanya, langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan mengakui masalah itu wujud.

Bagaimanapun, dakwa ABIM dan POWR, di Malaysia, pihak pemerintah seolah-olah masih tidak mengakui masalah yang dihadapi dan kini membahayakan jutaan nyawa rakyat Malaysia.

Dakwanya, kerajaan terus “menyembunyikan kepalanya di pasir”, seolah-olah tidak endah untuk bertindak dengan lebih serius. .

Menurut ABIM dan POWR, sudah sampai masanya alarm bell dibunyikan di seluruh negara supaya kita perlu berada dalam keadaan red alert.

Malaysia kini menghadapi krisis yang paling parah dan kerajaan tidak boleh lagi menyembunyikan perkara ini dan wajib mengiktiraf dengan lebih jelas dan terperinci tentang betapa parahnya situasi yang kita sedang hadapi.

Sekiranya benar bahawa pemerintah mengisytiharkan darurat untuk memerangi Covid-19 dan bukannya untuk melindungi kepentingan politik, maka pemerintah harus mula bertindak dengan gambaran bahawa situasi negara kini benar-benar dalam keadaan darurat.

”Kita mesti berhenti berpolitik, dan harus bersatu dalam memerangi wabak Covid-19,” ujarnya.

Pada masa sama, kerajaan mesti dengan segera berterus terang secara telus mengenai keadaan di lapangan dengan perhatian dasar harus diberikan kepada penyelesaian masalah, bukan menghukum pemberi maklumat.

Libat urus dengan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk meringankan beban hospital kerajaan. Terlibat secara konstruktif dan menggunakan peraturan kecemasan jika perlu.

Selain itu, meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam dalam jangka pendek dan jangka panjang, sehingga kapasiti penjagaan kesihatan jangka panjang dapat ditingkatkan dan masalah seperti doktor kontrak dapat diselesaikan segera.

Peningkatan dana mesti disertai dengan pembaharuan yang sesuai dalam struktur organisasi Kementerian Kesihatan, katanya. – MalaysiaGazette