KULAI – Sebuah tangki bersaiz 1,000 liter mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang, Kulai, di sini, pecah dan mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam kenyataannya berkata, pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam.
Katanya, sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dengan sebuah utiliti pacuan empat roda Toyota Hilux dengan kekuatan 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulai ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, mereka mendapati terdapat tumpahan bahan kimia Methyltriocdylam monium chloride, Hydrogen Peroxide Solution dan N-Methyl Cyclohexylamine.
“Tinjauan dan pemeriksaan di sekitar lokasi mendapati benar terdapat stor simpanan yang berkeluasan 24.3 meter x 24.3 meter berada tidak jauh dari lokasi yang dilaporkan.
“Pihaknya juga menyalurkan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Terdapat 30 tangki yang mengandungi bahan alkali dan satu daripada tangki berkenaan pecah dan bahannya mengalir ke sungai yang berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, isi padu setiap tangki lebih kurang 1,000 liter dan terdapat dua mangsa di lokasi berhampiran mengalami gejala muntah.
Katanya, bomba bertindak membuat tiga lapisan benteng bagi menghalang bahan buangan berkenaan daripada terus mengalir ke dalam sungai.
“Pengaliran bahan kimia berkenaan dapat dihentikan dan keadaan didapati selamat.
“Operasi ditamatkan pada 2.33 awal pagi ini,” katanya.-Malaysiagazette