Home Nasional 21 PPV ditambah di seluruh negara

21 PPV ditambah di seluruh negara

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 lagi pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 akan dibuka di seluruh negara.

Ia melibatkan pembukaan 14 PPV Awam dan tujuh PPV Integrasi yang mula beroperasi, hari ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pembukaan PPV terbabit membolehkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) meningkatkan lagi kira-kira 24,000 dos pemberian vaksin setiap hari pada masa akan datang.

“Antara lokasi PPV Awam berkenaan ialah Pusat Konvensyen Dewan Perda di Pulau Pinang dengan kapasiti 2,000 orang, Stadium Tertutup Samarahan, Sarawak (700), serta Dewan Masyarakat Sook, Sabah (400).

“Lokasi PPV Integrasi terbabit pula meliputi Bangi Avenue Convention Centre (5,000); Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (5,000); dan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat (1,800),” katanya pada sidang media mingguan CITF secara hibrid hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Khairy berkata, pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech terhadap remaja 12 tahun ke atas hanya untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Ujarnya, remaja lain yang tiada masalah kesihatan akan diberikan vaksin itu selepas selesai semua fasa PICK membabitkan populasi dewasa.

Tambahnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah kesihatan dapat dilindungi.

“Pada minggu lalu, Menteri Kesihatan, Menteri Pendidikan dan saya diberikan taklimat yang agak panjang lebar oleh kumpulan pakar JKJAV diketuai Dr Kalai. Kami mengambil pendirian untuk lebih berhati-hati dalam pemberian vaksin terhadap remaja.

“Saya rasa keputusan dibuat Menteri Kesihatan dan JKJAV ini satu keputusan baik untuk melindungi kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan terlebih dulu.

“Kita bersetuju dengan pembukaan sekolah dan pemberian vaksin akan diberikan terlebih dulu kepada guru, kakitangan sokongan termasuk pemandu bas.

“Hanya remaja mempunyai masalah kesihatan berisiko tinggi manakala imunisasi terhadap kanak-kanak lain boleh dilaksanakan sehingga fasa seterusnya,” ujarnya.

Menurut Khairy, pihaknya meminta jawatankuasa khas dalam JKJAV menilai data klinikal semasa termasuk kes myocarditis dalam kalangan remaja serta vaksin keluaran Sinovac untuk kegunaan remaja.

Tambah beliau, menjelang semua populasi dewasa selesai divaksin, pihaknya yakin CITF mempunyai data mencukupi untuk menjalankan vaksinasi terhadap semua remaja. – MalaysiaGazette