Home Pendapat Bahaya dadah: Lebih baik cegah

Bahaya dadah: Lebih baik cegah

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Dadah sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

SEJAK pandemik menyerang negara, saban hari kita dikemas kini tentang kes kes positif
Covid-19, tetapi jangan pernah pula kita lupa tentang kes-kes positif yang melibatkan najis dadah. Walaupun sekarang kita sedang berperang dengan virus Covid-19, jangan pula kita lupa musuh nombor satu negara iaitu dadah. Tanggal 26 Jun merupakan Hari Anti Dadah Antarabangsa dan ia disambut setiap tahun.

Pada tahun ini tema yang dibawa oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ialah ‘Lebih
Baik Cegah.’ Sungguh jelas tema yang dibawa kali ini. Lebih baik cegah sebelum terjebak
dalam kancah dadah. Baru-baru ini tular di media sosial kes seorang selebriti ditahan atas kes positif dadah. Sejauh mana kebenaran berita itu, siapalah kita untuk menghukum.

Namun sebagai rakyat, berita-berita sebegini amat mendukacitakan. Sebagai seorang figura awam (public figure), ia seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat walaupun berada dalam industri hiburan. Suatu fakta yang tidak boleh disangkal ialah virus dadah ini sama bahayanya dengan virus Covid-19. Namun kedua-duanya punya naratif yang berbeza untuk dijangkiti dan dirawat. AADK telah mengeluarkan satu nisbah seorang penagih kepada 254 (1:254) orang
penduduk Malaysia.

Walaupun dari segi matematiknya nilai ini agak besar, namun jika kita memahami bahaya penyalahgunaan najis dadah, nombor ini harus sentiasa menjadi kerisauan kita.
Sesungguhnya sehingga ke hari ini gejala ini masih tidak menemui jalan penyelesaian.
Saban hari kita dapat melihat semakin ramai yang terlibat, baik dari golongan kanak-kanak hinggalah golongan yang telah meningkat usia.

Senario hari ini

Kes penyalahgunaan dadah saban tahun tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Buktinya, seperti yang disampaikan oleh Dato’ Seri Ayub Yaakob iaitu Naib Pengerusi
Yayasan Pencegah Jenayah Malaysia dalam siri Bicara Bina Negara (BBN) ke-11, beliau
telah berkongsi statistik tentang kes penyalahgunaaan dadah dari tahun 2019 hingga 2021.

Pada tahun 2019, keluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 26,080 kes bersamaan
dengan 25,000 penagih. Manakala pada tahun 2020 pula, kes yang dilaporkan adalah
sebanyak 20,643 kes dan sebanyak 20,300 individu yang terlibat. Pada tahun ini pula, setakat Jun 2021, sebanyak 7,066 kes dilaporkan dengan melibatkan 7,034 orang individu.

Walaupun kita dapat lihat ada sedikit trend penurunan kes dari tahun 2019 dan 2020,
namun nilai kes yang dilaporkan masih tinggi dan hal ini amat membimbangkan lagi
menggusarkan. Menurut kajian juga, mereka yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah ini adalah mereka yang berada pada awal usia remaja iaitu berusia antara 13 hingga 18 tahun. Fakta ini amat merisaukan ramai pihak. Remaja pada usia 13 hingga 18 tahun ini seharusnya mendapat pendidikan dan semangat yang secukupnya demi masa depan yang lebih cerah. Selain itu, remaja juga adalah pemuda yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Jika pada awal usia terus berada dalam kegelapan cuba bayangkan bagaimana corak masa depan mereka dan negara.

Salah siapa?

Untuk menjawab persoalan salah siapa ini bukan suatu yang mudah. Banyak pihak yang
boleh kita persoalkan. Pertama kepada penagih itu sendiri. Antara faktor yang diketengahkan oleh Dr Nazira Sadiron iaitu KPP Pemulihan Dalam Komuniti AADK ialah faktor biologi dan psikologi. Bagi faktor biologi ini, ia bermaksud penagih mempunyai sejarah keluarga yang turut terlibat dalam kancah dadah ini. Kajian mendapati antara 40 hingga 60 peratus penagih yang ditangkap mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam gejala ini. Tidak dapat dinafikan bahawa kecenderungan genetik boleh menjerumuskan seseorang itu terlibat dalam gejala ini.

Selain itu, faktor psikologi yang mana faktor personaliti memainkan peranan. Individu yang terlalu mengejar keseronokan dunia dan sentiasa mahu lari daripada masalah merupakan antara individu yang mempunyai risiko yang tinggi untuk menyalahgunakan dadah. Kedua-dua faktor yang dibincangkan ini adalah faktor yang datang dari diri individu itu sendiri. Sememangnya masalah penggunaan dadah ini datangnya daripada pilihan individu itu sendiri.

Namun, terdapat juga faktor lain yang mendorong hal ini berlaku, contohnya faktor
persekitaran seperti kelompok komuniti yang sudah normal dengan gejala dadah ini.
Persoalannya, mengapa masih banyak kes baru yang dilaporkan saban tahun walaupun
rampasan dadah juga meningkat setiap tahun?

Semua pihak punya peranan

Untuk membanteras gejala ini, semua pihak harus berganding bahu bekerjasama membantu menyelesaikan kemelut ini. Demi merealisasikan impian ini, semua pihak iaitu dari pihak atasan hingga rakyat marhaen harus memahami keseriusan masalah ini. Seperti kata Pengerusi Yayasan IKRAM Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta
Shaharom berkata dalam sesi BBN 11 baru-baru ini, “Isu dadah ini harus diperangi secara
holistik”. Pihak atasan harus sentiasa menunjukkan contoh akhlak yang baik dan disenangi rakyat.

Selain itu, pemimpin juga harus amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Dadah dan rasuah sangat berkait. Dengan menjauhi rasuah, masalah dadah mampu diatasi.
Selain pemimpin, masyarakat juga memainkan peranan. Masyarakat harus sentiasa cakna
terhadap keadaan sekeliling. Komuniti hari ini perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

Komuniti dan pihak penguat kuasa perlu mempunyai hubungan yang baik. Jika berlaku
sebarang kes yang melibatkan dadah di kawasan sesuatu komuniti, laporan harus dibuat
dengan segera. Sesuatu komuniti itu tidak sepatutnya melindungi penagih-penagih yang ada di kawasan kominiti mereka demi menjaga nama baik kawasan. Banyak lagi pihak yang boleh berperanan dalam membanteras gejala ini, contohnya pihak sekolah, NGO dan sebagainya. Mereka ini boleh membantu memperbanyakkan lagi kempen-kempen kesedaran demi mendidik masyarakat tentang bahayanya najis dadah ini.

Petikan dari Surah al-Ma’idah ayat 2, Allah berfirman maksudnya:
“..Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” Dalam ayat ini, Allah SWT menyeru manusia untuk tolong-menolong dalam berbuat kebaikan. Memerangi masalah dadah dalam masyarakat ini adalah merupakan satu bentuk kebaikan, insya-Allah.

Laksanakan amanah

Dalam surah al-Anfal ayat 27, Allah berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Ayuh semua pihak, laksanakanlah amar makruf nahi mungkar. Bagi rakyat biasa,
bersedialah untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa. Bagi pihak berkuasa,
sentiasalah jujur dalam menjalankan amanah, demi masa depan bangsa dan negara kita
jua.

Atau, mahukah kita sekadar melihat bangsa kita terus terjerumus dalam kancah najis dadah ini? Jadi, marilah kita bersama-sama menggerakkan kesedaran dan pengetahuan agar generasi kita sentiasa tahu lagi faham akan durjananya jika cuba-cuba mendekati makhluk perosak yang satu ini.

Nur Zahanim Muhammad Zahir
Pegawai Pertubuhan IKRAM Malaysia