TANJONG KARANG – Peruntukan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen untuk memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan sebenarnya boleh digunakan wakil rakyat mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, keperluan PPV khususnya di Selangor sangat mendesak bagi membantu mengurangkan kes positif Covid-19 yang tinggi sejak Mei lalu.
“Di Selangor saya nampak sepatutnya RM300,000 boleh digunakan untuk membantu wakil rakyat membuka PPV. PPV amat penting, Selangor ini kalau tak betul uruskan, kesannya seluruh negara.
“Kalau peruntukan ini diberi kepada ahli Parlimen, mereka boleh diguna mewujudkan PPV di setiap Parlimen atau DUN untuk mempercepatkan vaksinisasi,” katanya kepada pemberita di Bagan Tengkorak hari ini.
Peruntukan RM300,000 kepada semua ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan sejak Khamis lalu.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan minggu lalu memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Dalam pengumuman pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lain turut mengumumkan dana sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
Dalam pada itu, Kerajaan Selangor diingatkan tidak bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Vaksin ini kita tak boleh bergantung kepada kerajaan pusat sahaja, KKM pun terhad kakitangannya. PPV Tanjung Karang, kita bergabung dengan kerajaan pusat yang membekalkan vaksin, kerajaan negeri menyediakan beberapa kemudahan dan pejabat Parlimen memberi keperluan,” katanya.
Noh juga menggesa Kerajaan Selangor mengenepikan perbezaan politik untuk menjayakan program vaksinasi itu.
“Kalau gabungan ini tanpa mengira fahaman politik, bagi saya virus Covid-19 dia tak pilih mangsa, kena ketepikan fahaman politik.
“Walaupun di Selangor ini saya tengok ada program vaksin Selvac tapi saya harap kerajaan negeri dan kerajaan pusat kena duduk bincang.
“Kalau nak mudah kerajaan pusat kena beri jaminan bekalan vaksin cukup, kerajaan negeri pula kena membantu menubuhkan PPV,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 36,000 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk Parlimen Tanjong Karang yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik sejak Mac tahun lalu.
Menurut Noh, inisiatif itu dimulakan beliau lebih awal iaitu sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan RM300,000 diberi kepada setiap ahli Parlimen.
“Sebelum dia (kerajaan) bagi pun kita sudah jalan (beri sumbangan) 36,500 bungkusan makanan kepada penduduk kawasan Parlimen Tanjong Karang.
“Konsep bungkusan makanan ini telah kita mulakan sejak PKP, Mac tahun lalu,” katanya.
Susulan peruntukan itu, pihaknya menyasarkan sehingga 3,000 penerima akan mendapat manfaat daripada Program Bakul Makanan itu.
“Sasaran saya mungkin akan capai 40,000 bungkusan makanan kita akan edar dalam Parlimen Tanjung Karang. Kalau hari ini ada 3,000 bungkusan dan bakinya saya akan tambah lagi selewat-lewatnya hujung minggu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette