Home Di Bawah Kolong Kibar bendera putih atau angkat tangan berdoa?

Kibar bendera putih atau angkat tangan berdoa?

Kempen kibarkan bendera putih semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia prihatin.

TIBA-TIBA kalut pula isu kibar bendera putih. Ada yang setuju, ada yang tak setuju. Yang tak setuju kebanyakannya wakil rakyat sebelah sana. Yang setuju pula wakil rakyat sebelah sini.

Kes kibar bendera putih pun boleh jadi isu. Mereka berdebat pertahankan hak masing-masing. Ada yang kata, rakyat tak sepatutnya diajar menghadapi kekalahan, sebaliknya ajar rakyat berdoa supaya mendapat pertolongan daripada Allah.

Ada pula yang kata, tidak salah membantu rakyat yang dalam kesempitan hidup agar mereka dapat makan minum untuk teruskan kesinambungan hidup. Macam-macam pro dan kontra perdebatan isu bendera putih ini.

Banyak dalil-dalil berkaitan makna dan erti bendera putih. Kisah-kisah sejarah yang terkait dengan bendera putih serta peristiwa angkat bendera putih di medan peperangan.

Jauh mereka lencongkan isu ini. Padahal, dalam kata mudah, kibar bendera putih di depan rumah supaya mudah bantuan sampai kepada keluarga atau individu yang memerlukan itu. Itu saja tujuan dan niat asalnya.

Tetapi, biasalah. Negara kita ini tak pernah sunyi dari politik dan berpolitik. Semua isu, termasuk yang berniat baik, jujur pun nak dipolitikkan. Kalau rakyat terbela dan kenyang dengan mainan politik mereka, tak mengapa. Ini, rakyat makin susah.

Bila rakyat susah, mereka salahkan pihak lain. Yang jadi mangsa adalah rakyat. Ini memang hakikat yang berlaku. Musim pandemik Covid-19 menyebabkan ramai rakyat hidup susah.

Yang bekerja gaji RM5,000 ke atas dulu pun mula merasa kesempitan hidup. Mereka hilang pekerjaan, mereka hilang sumber pendapatan. Duit simpanan makin hari makin susut. Bekalan makanan dan minuman mula berkurangan. Ini menyebabkan mak ayah kita dan kita sendiri tertekan.

Membantu orang miskin menjadi tanggungjawab semua pihak dalam musim pandemik Covid-19.

Tiap saat fikirkan macam mana nak cari duit, nak beli susu anak, nak beli barangan dapur untuk isi perut. Nak keluar rumah tak boleh sebab SOP PKP dan SOP PKPD melarang rakyat keluar rumah.

Nak cari kerja, semua majikan tutup. Tidak sedikit gulung tikar. Habis, apa perlu dibuat? Semua usaha sudah ikhtiar. Tiap kali selesai solat, tadah tangan mohon pertolongan dari Allah.

Allah berikan pertolongan kepada hamba-Nya melalui asbab. Tahu apa itu asbab? Allah telah jadikan dunia ini dengan asbab. Bila kita nak panaskan sesuatu kena ada api. Bila kita nak sejuk, kena ambil air atau ais. Maka yang jadikan asbab panas dan sejuk ini adalah Allah.

Allah jadikan asbab untuk uji iman kita, sama ada kita yakin pada asbab itu ataupun yakin pada yang menjadikan asbab itu. Jadi, setelah individu atau keluarga itu tidak tahu lagi macam mana nak ikhtiar dan usaha, mereka sahut untuk kibar bendera putih.

Bendera putih ini adalah usaha dan ikhtiar. Asbabnya ialah Allah mengutuskan seseorang untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban atau tanggungan yang ditanggung individu atau keluarga berkenaan.

Bukan kata yang kibar bendera putih tidak tahu bersyukur kepada Allah. Bukan kata, orang miskin itu tidak berdoa kepada Allah. Entah-entah mereka lebih banyak bersolat, berdoa dan mengucapkan syukur kepada Allah setiap hari berbanding dengan daripada kita, mana kita tahu.

Oleh itu, jangan cepat melatah menuduh kempen kibar bendera putih ini mainan politik. Kalau betul mainan politik sekalipun, kita orang politik lawanlah secara politik. Tengok nanti siapa untung dengan mainan ini.

Bawah Kolong (BK) pada dasarnya setuju dengan kempen kibar bendera putih. Kalau mereka tak kibar, kita tak tahu jiran sebelah kita hidup dalam kesusahan dan kesempitan. Kita tak tahu mereka tak ada duit nak beli makan minum untuk anak isteri dan untuk diri sendiri.

Kalau kita gaji puluh ribu sebulan, ribu-ribu sebulan. Pekerjaan tak terjejas di musim pandemik Covid-19 ini, kita jangan pandang remeh pada usaha orang lain nak membantu.

Musim sekarang, kita tak boleh nak kata pada siapa-siapa. Kerana yang kaya raya sebelum ini pun tiba-tiba sudah jatuh miskin. Mereka miskin kerana hilang pekerjaan. Majikan mereka terpaksa gulung tikar kerana tidak boleh beroperasi untuk jana keuntungan.

Jadi, tidak salah untuk kita sama-sama membantu dan tolong menolong antara satu sama lain. Dengan cara mana kita nak bantu, nak tolong, terpulang pada kemampuan dan kaedah masing-masing.

Ada dalam kes tertentu, orang bantu dengan tawarkan peluang pekerjaan, ada juga bantu dengan salurkan duit dan tidak sedikit hulurkan makanan dan minuman. Waima apa sekalipun, bantulah orang yang dalam kesusahan.

Mungkin hari ini kita bantu orang susah dan mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba kita pula hidup susah dan perlukan bantuan. Apa kita nak buat? Nak kibar bendera putih, malu, sebab sebelum ini kita yang lantang bantah.

Kesimpulannya, apa saja cadangan pihak lawan kita kaedah untuk bantu orang susah, kita terima saja. Jangan cepat membuat tuduhan yang bukan-bukan. Isu kemiskinan segera ini tidak boleh dijadikan bahan gurauan atau mainan politik.

Kita yang kaya raya kena insaf. Kenapa Allah tidak bolak balikkan hati kita untuk membantu. Kenapa Allah tidak tarik rezeki kita. Kita kena bersyukur dan tambahlah pahala akhirat dengan menderma. – MalaysiaGazette