KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara.
Ini termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta laporan pemantauan setiap negeri dalam fasa pemulihan negara.
“Alhamdulillah, selain lima buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook.
Muhyiddin turut berharap situasi pandemik di negara ini dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini.
Artikel berkaitan:
- Muhyiddin dimasukkan ke hospital
- Muhyiddin admitted into hospital
- Muhyiddin dijangka keluar hospital dalam beberapa hari lagi
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan oleh pihak kerajaan.
“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T,” katanya.
Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana mengalami diarea pada 30 Jun lalu.
Semalam Pejabat Perdana Menteri memaklumkan perkembangan kesihatan Perdana Menteri semakin pulih dan dijangka keluar hospital beberapa hari lagi – MalaysiaGazette