Home Nasional Operasi tanpa surat MITI, kilang cetak dikompaun RM10,000

Operasi tanpa surat MITI, kilang cetak dikompaun RM10,000

Pasukan Simpanan Persekutuan membuat pemeriksaan Op Patuh SOP di kilang percetakan sebelum mengeluarkan kompuan kerana beroperasi tanpa kebenaran MITI di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah kilang percetakan yang membuka operasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima akibatnya apabila pemiliknya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

Kilang di Jalan Genting Klang, Setapak itu diserbu dalam Op Patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) hari ini.

Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, para pekerja kilang terbabit juga didapati tergesa-gesa memakai pelitup muka.

Pemeriksaan juga mendapati kilang percetakan itu tidak memiliki surat kebenaran daripada MITI untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pengurusan kilang berkenaan juga perlu memberi penjelasan lanjut kepada Kementerian Kesihatan mengenai kesalahan yang telah dilakukannya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi yang dikendalikan secara berasingan beliau menambah, polis mendapati sebuah kilang pembuatan barangan kemas di Ampang didapati mematuhi SOP seperti disyaratkan.

“Kita berpuas hati dengan kilang berkenaan kerana para pekerjanya mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk pemakaian pelitup muka,” ujar beliau.-MalaysiaGazette