KUALA LUMPUR – Prihatin dan cakna dengan persekitaran semasa, UiTM Melaka mewujudkan satu talian khas bagi mengesan dan membantu warganya yang betul-betul memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 1 Jun yang lalu.
Inisiatif ini digerakkan oleh unit Waqaf, Zakat dan Infaq (El-Wazif), UiTM Cawangan Melaka melalui kempen yang disebarkan melalui aplikasi Whatsaap dan media baharu yang lain seperti Facebook, Instagram dan lain-lain.
Menurut Koordinator El-Wazif, Muaz Mohd Noor, kempen ini digerakkan sebagai salah satu cara untuk mengesan para pelajar dan staf UiTM Melaka yang betul-betul terdesak dan memerlukan sepanjang tempoh PKP ini.
“Sebagaimana orang lain, ada juga dalam kalangan pelajar dan staf yang benar-benar terkesan dengan PKP kali ini, namun mereka tiada saluran untuk memohon bantuan, selain segelintir mereka malu untuk meminta secara langsung. Jadi kempen ini bagi mengesan dan membantu mereka yang memerlukan”.
“Kita mengutamakan warga UiTM yang hilang mata pencarian dan terputus bekalan makanan semasa bermulanya pengumuman PKP 3.0 pada 1 Jun yang lalu. Para pelajar atau staf hanya perlu menghantar mesej melalui talian whatsapp kepada nombor talian yang diberikan mengikut kampus masing-masing.
”Pegawai seksyen infaq kami bagi ketiga-tiga kampus sentiasa bersiap sedia
membantu mereka, dengan menjawab pesanan whatsapp mereka sepanjang waktu pejabat,” katanya.
Berdasarkan rekod El-Wazif, sehingga 30 Jun, seramai lebih 70 orang warga UiTM dari kalangan pelajar dan staf yang memohon melalui kempen ini, yang mana permohonan mereka telah diluluskan serta merta, yang melibatkan peruntukan lebih RM15,000 daripada Tabung Amanah Sedekah.
Sementara itu, UiTM Melaka baru-baru ini turut meluluskan permohonan lebih 704 orang pemohon zakat dalam kalangan pelajarnya dari ketiga-tiga kampus dengan peruntukan hampir RM150,000. – MalaysiaGazette