Home Nasional ‘Bersantai’ di balkoni secara berbahaya, lima wanita warga asing ditahan

‘Bersantai’ di balkoni secara berbahaya, lima wanita warga asing ditahan

Aksi lima wanita warga asing sedang bersantai di balkoni kediaman mereka.

JOHOR BAHRU – Tindakan ‘bersantai’ dalam keadaan yang boleh mendatangkan bahaya di luar balkoni tingkat 6 di sebuah unit pangsapuri berhampiran Taman Sri Bayu Puteri di sini mengundang padah apabila lima wanita warga Indonesia ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata kesemua wanita berusia lingkungan 20 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi pada 12.10 tengah hari.

“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku semalam pada kira-kira 10 pagi dan kita telah membuat serbuan serta menahan wanita warga asing dipercayai suspek yang tular di dalam video berkenaan.

“Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai dokumen diri dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 Artikel berkaitan: Aksi wanita asing duduk di luar tingkap cetus kemarahan netizen

Terdahulu, tular di laman Facebook sebuah video berdurasi tujuh saat memaparkan sekumpulan wanita dipercayai warga asing sedang bersantai di luar balkoni kecil dalam keadaan yang membahayakan keselamatan diri sekali gus mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Kesemua wanita berkenaan dilihat duduk serta berdiri sambil bersembang sambil membawa minuman dan mereka dipercayai keluar untuk bersantai di balkoni tanpa sebarang pagar itu dengan melalui tingkap bilik di unit berkenaan.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.