KUALA LUMPUR – Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menggunakan platform dan aplikasi dalam talian banyak dihabiskan melalui telefon pintar dan komputer.
Walaupun ia bergantung kepada perkhidmatan internet namun para pelajar masih memerlukan buku dan alat tulis untuk mencatat nota dan membuat ulang kajiĀ di rumah.
Susulan keperluan itu, jualan alat tulis di pasar raya dan premis yang menyokong barang dan perkhidmatan perlu wajar dibuka dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut seorang peniaga, Rosidah Dollah, 44, penutupan kedai buku dan premis jualan alat tulis sejak 1 Julai lalu menyukarkan anak-anaknya menjalani PdPR apabila kekurangan alat tulis.
“Kakak rasa sejak kedai buku tutup, susahlah bagi kami, kadang-kala ada juga kelengkapan sekolah yang tak cukup.
“Kalau boleh nak kedai buku dan alat tulis dibuka, kita nak cetak dokumen atau apa semua. Kat rumah tu habis dinding-dinding kena conteng,” katanya kepada MalaysiaGazette di Taman Pandan Mewah, Ampang hari ini.
Rosidah pun tidak menyangka PKP 3.0 akan dilanjutkan kepada PPN menyebabkan kedai buku ditutup lebih lama daripada jangkaannya.
“Sebelum ini pun sekejap saja kedai buku buka lepas tu tutup, susahlah bagi kami. Saya tak ada (beli pukal) tak jangka lockdown ini berterusan, ingatkan sebulan sahaja lepas boleh sekolah semula macam biasa.
“Betul memang susah, harapkan online kena juga tulis pakai buku,” katanya.
Bagi seorang bapa, Nik Mohammad Nazri Nik Yaakob, 28, walaupun anak-anaknya tidak mengikuti PdPR namun alat tulis merupakan satu keperluan untuk pembelajaran tahap awal di rumah.
“Anak-anak kadang-kala nak juga menulis dan melukis di rumah. Anak-anak yang tak sekolah pun perlu alat tulis untuk melukis dan sebagainya.
“Sekarang ini rumah habis kena conteng sebab tak ada buku nak tulis. Kalau boleh harap semua kedai dibuka semula, lagi pun tak elok juga mengadap telefon selalu nanti mata dia jadi bengkak,” katanya.
Sementara itu, lain pula bagi serorang lagi ibu, Suziana Ab Ghani, 40, yang mempunyai dua anak mengikuti PdPR setiap hari tanpa masalah alat tulis dan buku.
Menurut Suziana, ini kerana dia membuat persediaan lebih awal di mana alat tulis dibeli secara pukal untuk mengelak anak-anaknya terputus bekalan kelengkapan sekolah itu.
“Saya memang beli alat tulis dalam kuantiti banyak, bila anak tak cukup alat tulis, saya akan bagi, saya tak bagi anak-anak ambil sendiri.
“Sekarang pula lockdown, kedai buku tak buka, saya rasa tindakan saya itu berguna juga, tak ada masalah untuk saya. Kalau alat tulis habis baru nak beli, memang jadi satu masalah juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette