Home Nasional KJ nafi Malaysia terima 20 juta vaksin bulan ini

KJ nafi Malaysia terima 20 juta vaksin bulan ini

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bertanyakan sesuatu dengan kakitangan KLIA semasa membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam sektor pengakutan udara di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JULAI 2021.

SEPANG – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan laporan media bahawa Malaysia akan menerima 20 juta dos vaksin Covid-19 sepanjang Julai 2021.

Sebaliknya berkata, jumlah sebenar adalah sebanyak 13.8 juta dos vaksin yang akan diterima kerajaan sepanjang bulan ini.

“Astro Awani menyebut bahawa 20 juta dos vaksin dijangka diterima sepanjang Julai 2021.

“Astro Awani ambil angka yang akan sampai dengan Julai campur dengan angka yang sudah sampai.

“Jadi angka yang sebenar adalah 13.8 juta untuk bulan Julai 2021, iaitu Pfizer dalam 6.4 juta, Astra Zeneca 1 juta dan Sinovac 6.4 juta,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau mengulas laporan berita Astro Awani semalam yang menyebut Malaysia akan menerima sehingga 20 juta dos vaksin Covid-19 sepanjang Julai ini.

Bagaimanapun laporan berkenanan vaksin itu telah diturunkan Astro Awani, semalam. – MalaysiaGazette