KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research mengekalkan saranan positif ke atas sektor perladangan serantau berdasarkan jangkaan bahawa peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi paras RM3,000 dalam masa terdekat.
Memetik pandangan veteran industri Datuk Yeo How, cabang penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd itu berkata, harga MSM dijangka kekal positif berikutan keadaan bekalan global yang terhad selain jangkaan pemulihan pengeluaran minyak sawit pada separuh kedua 2021 yang sukar direalisasikan.
Maybank IB Research sebelum ini menganjurkan sesi prospek harga komoditi itu dengan Yeo yang juga presiden penggiat minyak sawit global, Apical Group, bagi mendapatkan pandangan beliau.
“Bagi minyak sawit, beliau percaya stok simpanan Malaysia tidak akan melebihi 1.8 juta tan menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.
Maybank IB Research berkata Yeo juga berpendapat bahawa pasaran tidak akan menyaksikan pemulihan minyak sawit lebih kukuh pada separuh kedua 2021 sebagaimana diunjurkan sebelum ini, berikutan faktor hujan lebat sejak setahun lepas.
Menurutnya, ini juga sebahagian besarnya disebabkan oleh pekebun kecil yang kurang melakukan usaha pembajaan sejak 2018.
Maybank IB Research berkata secara keseluruhannya, aspek dinamik penawaran dan permintaan turut menyokong harga bagi 2022.
“Namun, kebimbangan beliau (Yeo) adalah dari segi ketidaktentuan cuaca serta dasar kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette