KUALA LUMPUR – Tiada pihak sepatutnya menyalahkan kerajaan berikutan penurunan kedudukan Malaysia ke tahap tiga Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, usaha yang dilancarkan masih masih baru dan ia memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak.
“Seperti makluman umum, tahap tiga ini adalah yang paling rendah dan aktiviti buruh paksa telah dikenal pasti sebagai bentuk jenayah utama yang berkaitan penurunan tersebut di Malaysia.
“Kita tidak mahu sentuh secara langsung mengenai ketelusan laporan tersebut dan bagaimana cara kajian tersebut dibuat tetapi ingin menyatakan sokongan kami yang jelas terhadap usaha kerajaan Malaysia dalam membaiki keadaan ini melalui iltizam kerajaan terutamanya KDN dengan pelancaran Pelan NAPTIP 3.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia kembali ke tahap 3 buat pertama kali sejak 2014 yang mana ia boleh dikenakan sekatan oleh AS bagi pembiayaan bantuan asing, tertakluk kepada keputusan Presiden.
Selain Malaysia, Guinea-Bissau, Afghanistan, Algeria, Myanmar, China, Comoros, Cuba, Eritrea, Iran, Nicaragua, Korea Utara, Russia, Selatan Sudan, Syria, Turkmenistan dan Venezuela turut berada dalam senarai tahap tiga.
Empat negara iaitu Belarus, Burundi, Lesotho and Papua New Guinea dikeluarkan daripada senarai tahap tiga dan dimasukkan ke tahap dua.
Menurut Hishamuddin, pihaknya bersedia untuk memikul tanggungjawab bersama menaikkan nama Malaysia di mata antarabangsa daripada terus menuding jari sesama sendiri.
Tambah beliau, pemerdagangan manusia bukan sahaja berlaku di negara membangun seperti Malaysia, malah ia turut berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat.
Malah, jelasnya, rakyat Malaysia juga sering menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara maju.
Ujar beliau, pihaknya akan menggerakkan semua kekuatan sukarelawan yang ada di seluruh negara dan mengajak masyarakat menjayakannya. – MalaysiaGazette