Home Politik Pemuda PAS ingatkan Kit Siang, jangan kurang ajar

Pemuda PAS ingatkan Kit Siang, jangan kurang ajar

Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang, diingatkan agar tidak bersikap kurang ajar dengan memutar belit maksud “Kerajaan Allah” yang ditulis oleh Presiden Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, semua orang Islam mengetahui, maksud “Kerajaan Allah” yang ditulis oleh Presiden Pas yang merupakan kekuasaan Allah, bukan merujuk kepada mana-mana kerajaan di dunia, bahkan Malaysia, baik kerajaan Perikatan Nasional apatah lagi kerajaan gagal Pakatan Harapan.

Tambah beliau, Kit Siang bukan sahaja salah dan memutar belitkan maksud perkataan tersebut, malah, beliau bertindak menghina “Kerajaan Allah” sebagai kerajaan gagal dalam melawan pandemik.

“Sudahlah memutar belit, menghina pula. Pemuda Pas memberi amaran kepada Lim Kit Siang dan menuntut supaya permohonan maaf secara terbuka dibuat terhadap umat Islam dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya gagal, satu laporan polis akan dibuat besar-besaran atas provokasi dan penghinaan kepada umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Khairil Nizam berkata, bukanlah sesuatu yang pelik bagi pemimpin parti seangkatan dengan Kit Siang untuk menghina Islam dan Allah.

Sebaliknya kata beliau, jika kebiadaban itu dibiar berterusan, keamanan dan keharmonian negara akan terus tergugat akibat mulut lancang dan penghinaan golongan tersebut.

“Pemuda Pas menggesa tindakan berat dikenakan ke atas mereka yang cuba menggugat keharmonian negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette