BALIK PULAU – “Setiap kali hujan mesti rumah kami dinaiki air dan lebih memeritkan limpahan air itu dari baja najis binatang.”
Itu luahan Rohana Husin, 70, yang kini berdepan dengan risiko banjir setiap kali hujan ekoran parit di Kampung Mat Tuah, Titi Teras di sini didakwa ditimbus untuk pembinaan rumah.
Jelas wanita lumpuh separuh badan itu, situasi tersebut semakin buruk apabila air itu lambat surut sebaliknya menyebabkan kawasan sekitar digenangi air dalam tempoh lama.
Katanya, kejadian itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini selepas sebuah keluarga membina rumah di kawasan berhampiran bertindak menimbus parit di kampung berkenaan.
“Lebih 40 tahun saya tinggal di sini tak banjir tapi sekarang ini setiap kali hujan mesti saya dan anak risau tambahan pula kalau anak keluar bekerja saya seorang diri tidak mampu untuk ubah barang memandangkan diri ini lumpuh separuh badan.
“Saya takut binatang berbisa seperti ular turut hanyut dalam air itu memandangkan ada kejadian hujan lebat air naik sampai paras lutut.
“Lebih memilukan belakang rumah saya ini kebun sayur, air mengalir akan membawa baja najis binatang yang digunakan mereka sekali gus membuatkan rumah kami digenang air busuk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Seorang penduduk, Hashim Ismail, 70, pula berkata, pengaliran air tersekat menyebabkan kira-kira 1,200 penduduk kampung itu berdepan kesukaran pergi jalan utama sekiranya hujan lebat.
“Kalau hujan jalan dalam kampung untuk ke jalan utama ini akan dinaiki air sekali gus menyebabkan kami terputus laluan.
“Situasi air lambat surut itu mendatangkan banyak kesulitan buat penduduk di sini. Kami harap ada pihak datang membantu kerana bimbang situasi ini berlarutan menyebabkan rumah serta laluan ini akan terus bertakung,” kata Hashim.
Sementara itu, Yusnizam Yahaya, 47, berkata, kebun buahnya habis ditenggalami air menyebabkan dia hilang punca pendapatan pada musim ini.
“Bukan setakat hilang punca pendapatan musim buah kali ini malah saya juga berdepan situasi pokok rosak serta mati kerana air ini sudah bertakung lama ekoran cuaca kerap hujan.
“Saya sudah beritahu pada pemilik rumah yang timbuskan parit itu kalau masih tiada tindakan daripada pihak berkaitan saya akan buat laporan polis,” kata Yusnizam. – MalaysiaGazette