Home Nasional Percakapan individu buang sisa kimia dirakam

Percakapan individu buang sisa kimia dirakam

Kejadian bahan sisa kimia yang dibuang di Sungai Sengkakng,Kulai baru-baru ini

JOHOR BAHRU – Beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian pencemaran Sungai Sengkang, Kulai akibat pembuangan sisa kimia sudah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Pengarahnya, Dr. Famey Yusof berkata, beliau tidak boleh mendedahkan perincian siasatan itu kerana ia masih dilakukan.

“Apa yang boleh dikongsikan kita telah merakamkan keterangan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tumpahan bahan kimia berpunca daripada sebuah stor penyimpanan haram bahan kimia di Kampung Baru Sengkang, Kulai itu telah dapat dibendung pada peringkat awal susulan laporan diterima daripada penduduk setempat, Sabtu lalu.

Famey berkata, kawasan sungai serta saluran yang terjejas sudah 95 peratus dibersihkan.

Jelasnya, tumpuan diberikan kepada kawasan sungai kira-kira 500 meter dari stor penyimpanan haram itu bagi mengesan sisa-sisa yang melekat di tebing sungai.

Selain itu, katanya, JAS Johor masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia yang dijangka diperolehi dalam tempoh beberapa hari lagi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, kejadian bahan kimia yang memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran sungai dipercayai dilakukan secara sengaja.

“Hasil pemantauan mendapati 116 tong IBC serta tiada yang pecah dan tumpahan bahan kimia itu berkemungkinan disebabkan telah dibuang dengan sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Penelitian itu berdasarkan kepada analisis sebaran dan aliran bahan kimia di kawasan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Tinggi II Bakhtiar Selamat dilaporkan berkata, siasatan mendapati terdapat tumpahan bahan kimia di lokasi melibatkan Methyltriocdylam Monium Chloride, Hydrogen Peroxide Solution dan N-Methyl Cyclohexylamine.

Premis tersebut telah diarahkan tutup oleh pihak Majlis Perbandaran Kulai susulan ia menjadi punca pencemaran sungai tersebut.

JAS Johor dengan bantuan beberapa agensi lain telah memantau sungai yang tercemar selain melakukan langkah pengawalan menggunakan ‘oil boom’, ‘adsorbent pad’ dan ‘dispersant’ jenis ‘Zeolite’ supaya aliran bahan kimia dapat dikawal.-Malaysiagazette