KELMARIN, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah memuat naik kenyataan di laman Facebook baginda yang menyatakan baginda telah berjumpa dengan barisan pimpinan kerajaan negeri Johor semalam dan menitahkan agar inisiatif-inisiatif seperti menggalakkan rakyat untuk mendaftar untuk vaksin dan juga meningkatkan kadar vaksinasi harian di Johor dipercepatkan lagi demi melawan pandemik Covid-19.
Dalam kenyataan itu, baginda turut menzahirkan rasa bimbang akan kebajikan rakyat dari segi mental dan fizikal serta masalah sosioekonomi yang tertimbul akibat pelaksanaan ‘lockdown’ yang bagai tiada kesimpulannya. Baginda juga menzahirkan pendapat bahawa strategi ‘lockdown’ kini sudah tidak relevan dalam konteks mengawal penularan wabak Covid-19 sedangkan sudah hampir dua bulan rakyat dikurung dalam rumah tetapi kadar kes harian masih lagi tinggi.
Sebaliknya, baginda menitahkan agar SOP dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih. Kenyataan baginda mengenai penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. Menurut data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes baharu yang timbul kini merupakan kes sporadik yang tidak bergejala. Jadi adalah pentingnya akses kepada saringan Covid-19 adalah dipermudahkan dan diperluaskan supaya lebih kes dapat dikesan dan langkah-
langkah pencegahan Covid-19 dapat dilaksanakan secara efektif.
Baginda turut menyatakan bahawa test kit ini perlu diperkenalkan kepada sektor-sektor yang penting selain daripada barisan hadapan. Ini juga langkah yang wajar diambil oleh kerajaan kerana kluster-kluster yang terbesar berasal dari kilang sektor kritikal. Betul, ekonomi kita kini dalam keadaan yang tenat, jadi kilang terpaksa beroperasi demi mencari keseimbangan antara mengawal penularan dan menyelamatkan ekonomi.
Namun begitu, dalam hal ini kesihatan dan keselamatan pekerja kilang hendaklah
diambil serius. Jika semua pekerja kilang dijangkiti Covid-19, siapa yang akan meneruskan operasi-operasi kilang? Jadi, kenyataan DYAM Tunku Mahkota Johor
bukan sahaja tepat pada masa tetapi wajib diambil kira dalam pertimbangan
pengoperasian sektor-sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan
makanan dan barang keperluan asas.
Ini merupakan ciri-ciri khas seorang pemimpin yang berwibawa dan prihatin terhadap keluhan rakyat. Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang agak kritikal pada masa kini, negara kita kini sangat memerlukan kepimpinan yang mendengar dan mementingkan rakyat. DYAM Tunku Mahkota Johor adalah salah seorang pemimpin yang wajar dicontohi oleh semua, khususnya mereka yang kini memegang tampuk kuasa.
Johor sangat bernasib baik kerana mempunyai pemimpin seperti DYAM Tunku Mahkota Johor, dan semoga Allah panjangkan usia baginda. Daulat Tuanku!
Haziq Aiman bin Ahmad