Home Nasional Soal kebajikan penduduk PKPD di KL ditangani sebaik mungkin – KPN

Soal kebajikan penduduk PKPD di KL ditangani sebaik mungkin – KPN

IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Sebarang isu berbangkit termasuk soal bantuan kebajikan kira-kira 58,000 penduduk membabitkan 19 lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di ibu negara dengan ditangani pihak berkuasa yang bertugas di lapangan.

Walaupun kebanyakannya melibatkan perkara kecil dan ringan diutarakan penduduk dari kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Awam dan perumahan teres namun segalanya dapat diatasi.

Beberapa perkara yang belum selesai akan cuba ditangani sebaik mungkin dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdul Sani.

Menurutnya, walaupun pihaknya menghadapi sedikit kesulitan memandangkan keluasan 19 lokaliti dan bilangan penduduk yang agak besar namun setiap rungutan dan aduan akan diteliti secara adil.

Segala pergerakan bantuan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya ditangani dengan sempurna dan efisien tanpa isu berbangkit di PPR Taman Bukit Angkasa di sini yang mempunyai lebih 14,000 penghuni.

“Justeru, saya semasa tinjauan beberapa lokaliti PKPD terpilih di ibu negara pagi ini mendapati ada isu berbangkit penduduk dugaan perlu bergerak ke kampung atas faktor kecemasan maka kita akan meneliti bentuk kecemasan itu sekiranya boleh diatasi pihak lain di kampung, kita tidak akan membenarkannya sebab prinsip PKPD sangat jelas iaitu mengelak penduduk lokaliti PKPD tidak keluar atau masuk.

“Malahan ada juga permohonan mereka yang mendakwa sebagai pekerja perkhidmatan perlu di luar lokaliti PKPD juga akan diteliti cermat sama ada boleh dibenarkan atau tidak kerana kami perlu memastikan bilangan keluar masuk lokaliti PKPD dihadkan.

“Kalau dia kerja di sektor betul-betul penting seperti kesihatan atau perubatan seperti doktor, jururawat, pekerja sokongan pembersih hospital maka ini kita akan mempertimbangkan dan ini antara tuntutan penduduk sejak empat hari yang lalu PKPD dilaksanakan,” katanya selepas turun meninjau kawasan lokaliti PKPD sempena lawatan kerja hari ini.

Turut hadir bersama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan timbalannya, Datuk Yong Lei Choo.

Tambah Acryl Sani, Azmi telah dipertanggungjawabkan sebagai ketua operasi mengendalikan 19 lokaliti PKPD di ibu negara sepanjang penguatkuasaannya sehingga 16 Julai ini.

Menurut beliau, polis akan berusaha sedaya upaya untuk membantu penduduk lokaliti PKPD mengurangkan kesulitan dan kerumitan berbangkit dengan kerjasasama agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, JKM, Angkatan Pertahanan Awam, Suarelawan Malaysia dan sebagainya.

Beliau juga memberi keyakinan bantuan tambahan sokongan logistik dan aset memastikan sentiasa mencukupi melicinkan tugas harian di kesemua lokaliti.

“Kita juga akan mengumpul segala perkara berbangkit berkaitan kebajikan yang dikemukakan penduduk PKPD serta input yang diterima dan akan diangkat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) nanti.

“Kita juga menambah kawalan keselamatan di kesemua lokaliti mengelak sebarang pencerobohan masuk atau keluar penduduk PKPD selepas satu insiden yang berlaku Ahad lalu yang mana ada dua penagih dadah yang masih diburu untuk tindakan selanjutnya.

“Kita menggerakkkan kekuatan sumber manusia yang ada di setiap lokaliti untuk mengawal keselamatan sepenuhnya dan Bukit Aman juga menyediakan sokongan tenaga manusia tambahan dan penambahan bilangan anggota di lapangan akan dikaji dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.

Polis pada masa yang sama, beliau menasihati penduduk terlibat supaya memberikan kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan memandangkan kadar penularan kes Covid-19 masih belum turun.

“Kami tidak mahu perbuatan dan kealpaan penduduk menambah atau mengeruhkan lagi segala usaha kami dalam menjayakan PKPD ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette