Home Nasional Pekerja kilang lari lompat pagar bukan diserbu pihak berkuasa – Polis

Pekerja kilang lari lompat pagar bukan diserbu pihak berkuasa – Polis

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan pekerja lari  bertempiaran sehingga ada yang memanjat dan terjatuh dari pintu pagar di sebuah kilang di Shah Alam semalam bukan disebabkan serbuan pihak berkuasa.

Kejadian yang berlaku di sebuah syarikat penghantar bungkusan kurier e-dagang, Ninja Logistics di Seksyen 22, Shah Alam itu sebenarnya berpunca bunyi siren kecemasan palsu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, keadaan mencemaskan itu menyebabkan kekecohan berlaku dan ramai pekerja menyelamatkan diri sehingga menyebabkan pengguna jalan raya di sebelah premis tersebut juga panik.

Menurutnya, kejadian berlaku antara pukul 4.30 hingga 5 petang.

“Kejadian itu menyebabkan video mengenainya tular menunjukkan ramai pekerja lompat pagar dan lari dari syarikat berkenaan. Ia bukan kerana disebabkan oleh sebarang operasi atau serbuan mana-mana pihak penguat kuasa seperti didakwa oleh netizen di luar sana.

“Pengesahan dari Ketua Pengawal Keselamatan bernama Thivagar Bhaskaran mendapati situasi mengejut kilang yang mengalami false fire alarm trigger sehingga mencetuskan rasa panik dan ketakutan dalam kalangan pekerja yang kemudiannya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Baharudin, syarikat  berkenaan dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian elektrik di premis itu selepas sistem kecemasan kebakaran gagal berfungsi dan bunyinya menyebabkan ramai pekerja panik dan lari.

“Syarikat ini sebelum ini Merly Motorist telah diambil alih oleh Ninja Logistic sejak 1 Jun 2021 dan memandangkan operasi syarikat ini masih baharu lebih kurang sebulan, ramai pekerja dan pengurusan belum didedahkan sepenuhnya dengan ilmu kecemasan kebakaran seperti berkumpul di tempat berhimpun dan pelan pemindahan waktu kecemasan.

Terdahulu, dalam video yang tular di media sosial hari ini sesetengah netizen mendakwa kejadian berlau disebabkan serbuan pihak berkuasa ke atas kilang terbabit secara mengejut sehingga para pekerja melarikan diri.-MalaysiaGazette