Home National Pesara polis terharu terima kunjungan Ayob Khan

Pesara polis terharu terima kunjungan Ayob Khan

Bekas pesara polis zaman darurat, Suliman A Hakim, menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di kediamannya di Flat Taman Cendana,Pasir Gudang dalam OP Bantu yang dilancarkan hari ini seluruh negara
PASIR GUDANG – Bekas pesara polis zaman darurat, Suliman A Hakim, bukan sahaja terharu malah tidak menyangka akan menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di kediamannya di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang.
Lawatan sempena Op Bantu di daerah itu melibatkan 20 penerima bantuan barangan keperluan asas dari Taman Cendana dan Taman Scientex di sini pada Rabu, bagi membantu golongan memerlukan.
Ayob Khan menyerahkan bantuan itu kepada isteri Suliman iaitu Sulam Ahmad, 61, bagi meringankan beban kehidupan mereka.
Sementara itu, Sulam yang berterima kasih terhadap bantuan yang diterima itu gembira kerana pihak polis masih ingat dengan jasa dan khidmat suaminya.
“Suami saya adalah seorang bekas anggota polis pada zaman darurat, berkhidmat selama lima tahun di Tapah dan Kampar, Perak sebelum bersara di Cameron Highland, Pahang pada 1959.
Jelas beliau, suaminya kini tidak boleh berjalan selepas mengalami sakit lutut yang teruk sejak beberapa tahun lalu.
“Kali terakhir suami bekerja sebagai tukang kebun dan ini memaksa saya berhenti kerja di sebuah pasar raya di sini pada 2018 untuk memberi sepenuh tumpuan menjaga suami dibantu anak tunggal kami, Siti Sarah, 21,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Kata Sulam, mereka kini hanya bergantung hidup dengan wang simpanannya dan tidak pernah menerima bantuan bulanan Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebaliknya keluarga mereka hanya menerima bantuan secara berkala daripada pihak polis dan komuniti setempat selain sumbangan ‘one off’ daripada kerajaan negeri baru-baru ini.
Sementara itu, Ayob Khan memberitahu, polis Johor akan mengedarkan 300 bakul makanan di semua 13 Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi membantu golongan memerlukan.
“Hari ini KDN (Kementerian Dalam Negeri) berkolobrasi dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat telah melancarkan Op Bantu ini khusus untuk memberi bantuan kepada masyarakat yang terkesan ekoran pendemik ini.
“Kita akan tumpukan ibu-ibu tunggal, OKU dan orang kurang berpendapatan dan pihak KDN khusunya polis dan Rela telah pun diarahkan memberi bantuan yang sepatutnya.
“Untuk kontinjen Johor kita ada 13 daerah setiapnya akan dibekalkan 300 yang akan diisi dengan bantuan keperluan harian bermula hari ini melibatkan seluruh Malaysia,” katanya.
Setiap daerah akan berperanan mendapatkan maklumat untuk mereka yang layak menerima bantuan, ujarnya. – Malaysiagazette