KUALA LUMPUR – Seramai 600 individu bakal dilantik bagi mengikuti program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bermula tahun ini sehingga 2025.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sasaran awal adalah dengan melantik Rakan PUPUK untuk 40 Pusat Internet Komuniti (PIK) dan akan ditambah 40 lagi setiap suku tahun.
Katanya, pada masa terdekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) akan memulakan program PUPUK @ AEON dan membuka peluang kepada 100 usahawan mikro melalui Pusat Internet Komuniti bagi menjual produk mereka di Pasar Raya AEON secara fizikal dan atas talian tidak lama lagi.
“Saya mengharapkan program PUPUK yang dikoordinasikan oleh MCMC dengan penglibatan agensi-agensi lain seperti MDEC, SME Corp, MyNic, SSM, INSKEN, HRDF and BSN serta kerjasama pihak swasta akan terus maju jaya.
“Saya yakin program yang dijalankan di bawah inisiatif PUPUK dan penggunaan PIK sebagai titik sentuhan dapat membantu dan memberi bimbingan kepada usahawan-usahawan mikro terutamanya yang di luar bandar dan miskin bandar,” katanya pada sidang media secara hibrid, hari ini.
Saifuddin berkata, terdapat 873 buah PIK di seluruh negara sedang melalui transformasi agar dapat melahirkan lebih ramai usahawan mikro luar bandar.
Katanya, usahawan mikro merupakan tonggak ekonomi negara yang penting dan berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Ujarnya, pengumuman Perdana Menteri mengenai PUPUK baru-baru ini adalah bagi mendorong usahawan mikro beralih kepada pendigitalan dan ia bukan sahaja dikoordinasikan oleh SKMM sebaliknya merangkumi usaha daripada pelbagai agensi.
Jelas beliau, PUPUK juga bakal memanfaatkan 800,000 usahawan mikro pada tahun 2025.
“Sebagai permulaan, program PUPUK @ Shopee telah dilaksanakan pada 29 Jun 2021 di PIK dan terdapat 545 usahawan mikro telah mengikuti program melalui platform e-dagang ini.
“Adalah disasarkan seramai 1,000 usahawan mikro akan mengikuti program ini dan pendapatan dapat ditingkatkan sebanyak 30 peratus daripada pendapatan asal menjelang Disember 2021,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin mengadakan sesi libat urus dengan pengurus-pengurus PIK selama satu jam secara atas talian.
Seramai 10 pengurus PIK memyertai sesi berkenaan dengan masing-masing membentangkan prestasi pengurusan yang dilakukan ditempat mereka. – MalaysiaGazette