KUALA LUMPUR – Pembatalan saingan Piala AFC 2021 tidak melunturkan semangat skuad Terengganu FC sebaliknya ingin terus fokus kepada aksi Liga Super bagi memastikan mereka layak sekali lagi beraksi dalam saingan itu.
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain enggan anak buahnya berputus asa di sebalik pembatalan kejohanan itu meskipun pada awalnya agak sukar untuk menerima keputusan tersebut memandangkan persediaan rapi telah dibuat.
Namun, ini tidak bermakna peluang yang diperoleh tamat begitu sahaja kerana sudah pasti fokus utama selepas ini adalah kekal konsisten dengan kedudukan terkini liga untuk sekali lagi mendapat slot kelayakan ke pentas Piala AFC pada tahun hadapan.
Justeru, barisan pemain perlu lupakan sepenuhnya kekecewaan mengenai pembatalan kejohanan itu dan perlu merebut peluang lain untuk mencapai prestasi terbaik di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.
“Kecewa itu memang kecewa sebab ini pertama kali saya sebagai jurulatih ingin bawa pasukan ke tahap seperti ini dalam pentas Piala AFC, tetapi akhirnya ia terpaksa dibatalkan.
“Tetapi, kita kena terima juga keputusan ini dan selepas ini pemain-pemain boleh lebih memberi fokus kepada saingan liga pula kerana slot untuk layak ke Piala AFC sentiasa terbuka.
“Musim lepas, kami bernasib baik layak walaupun berada di tangga ketiga selepas Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan, tetapi tahun ini kita kena pastikan betul-betul layak untuk ke Piala AFC sekali lagi tahun depan.
“Sekarang kita di tangga kedua liga, tetapi jurang mata dengan Kedah juga tidak jauh, sebab itu kita kena terus konsisten dengan prestasi sekarang”, jelasnya.
Terdahulu, Terengganu FC berada dalam Kumpulan I yang turut dihuni Geylang International FC, Visakha FC dan Lalenok United di mana pertembungan pertama aksi kumpulan itu sepatutnya bermula pada 30 Jun lalu.
Ketika ini, Terengganu FC dalam persiapan rapi untuk menghadapi saingan Liga Super yang sebelum ini dijadualkan kembali bersambung pada 24 Julai depan dan apa yang paling diutamakan beliau adalah perlawanan persahabatan yang perlu dilakukan sebelum sepak mula.
“Sekarang kami tengah merancang untuk aksi persahabatan, tetapi kena melihat daripada pelbagai faktor juga dengan keadaan COVID-19 dan juga PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini.
“Cuma saya boleh katakan, kita memang perlukan perlawanan persahabatan sebab dah lama tidak merasa aksi sebenar dan ia penting untuk kecergasan pemain sebelum liga bersambung,” tambahnya. – MalaysiaGazette