Home Pendapat Bakul makanan bukti keprihatinan kerajaan

Bakul makanan bukti keprihatinan kerajaan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan bantuan kepada Nor Rohayu Abu Bakar bersama anak-anaknya ketika lawatan di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2021.
Saudara Pengarang,
Mungkin bagi sesetengah orang, apa sangat nilai beras sekampit dan gula sebungkus , bersama biskut dan susu yang harganya hanya memerlukan beberapa keping wang nota Ringgit Malaysia (RM) berwarna merah dan boleh muat diisi dalam bakul bersaiz sederhana besar.

Namun bagi rakyat memerlukan, yang terhimpit kehidupan mereka dek kerakusan virus bernama Covid-19, sumbangan makanan sedemikian amat besar ertinya, sekurang-kurangnya dapat mengisi perut ahli keluarga walaupun tempohnya tidaklah lama mana.

Program Bantuan Bakul Makanan seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu, bukan satu-satunya inisiatif dilancarkan kerajaan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ia sebenarnya bagi memperkasakan Program Bantuan Bakul Makanan yang sudah sedia ada dan sebagai tambahan kepada banyak lagi bantuan yang sudah dilancarkan kerajaan yang menyasarkan semua peringkat masyarakat.

Kita percaya usaha kerajaan tidak akan berhenti setakat itu, malah Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah berulang kali memberi jaminan beliau sentiasa mendengar aduan serta keluhan rakyat.

Beliau juga memberi jaminan program Bantuan Bakul Makanan yang menyaksikan peruntukan RM300 ribu diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang, akan diterus dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.

Melalui agihan peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen serta melalui Pejabat Daerah dan Tanah selain pejabat pihak berkuasa tempatan bagi kawasan Parlimen yang kematian penyandangnya, pelaksanaan bantuan terbaharu ini dapat dipastikan lebih terangkum dan berkesan dalam menembusi capaian kepada kumpulan sasar di seluruh Malaysia.

Memang ada rungutan bahawa RM300,000 yang diperuntukkan itu masih tidak mencukupi, namun dalam konteks negara sedang bergelut dengan pandemik, jumlah itu adalah munasabah namun harus dipastikan bantuan diagih secara adil dan mengutamakan mereka yang benar-benar terdesak dan sangat memerlukan.

Percayalah, mereka yang dalam kesempitan pasti bersyukur dan menghargai apa juga bentuk bantuan yang diberikan, biarpun nilainya tidak seberapa asalkan ia dapat meringankan beban mereka, terutama dalam keadaan pandemik ketika ini.

Berdasarkan pengalaman peribadi dan lebihan rezeki kurniaan tuhan, situasi sedemikian pernah saya lalui apabila berdepan penerima bantuan yang tidak putus-putus mengucapkan terima kasih dan pantas mengangkat tangan berdoa sambil bersyukur walaupun bantuan yang diberikan tidak besar mana pun nilainya.

Dalam aspek program ini, kerajaan sudah menunaikan tanggungjawabnya. Kini terpulang kepada mereka yang dipertanggubjawabkan, sama ada Ahli Parlimen, pegawai mereka atau wakli agensi kerajaan berkaitan untuk memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pastikan agihan dibuat mengikut saluran yang betul supaya tidak ada yang tercicir daripada senarai, manakala bagi rakyat pula, mereka seharusnya jujur. Jika tidak perlu pun bantuan, akui perkara itu supaya tidak menganiayai orang yang lebih memerlukan.

Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menterjemahkan komitmen kerajaan untuk membantu orang ramai meneruskan kelangsungan hidup dalam krisis yang kita masih tidak tahu bila akan sampai penghujungnya, sekali gus memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sedarlah, ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik, sebaliknya untuk seluruh rakyat Malaysia saling menjaga satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan apa ideologi siasah yang disokong.

Sedarlah, sekarang adalah masa meringankan keperitan dan derita yang sudah lebih setahun ditanggung rakyat.

Hafiz Shukri
Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur