KITA boleh menafsir dengan pelbagai sudut pandang masing-masing kerana politik itu dinamik dan berseni sifatnya.
Semua perkara tidak semua betul untuk betul, begitu juga yang salah tidak semua salah. Yang dirasai betul boleh juga bertukar salah dan perkara dikatakan salah boleh menjadi betul. Begitu juga dalam tingkah laku politik.
Merujuk kepada keputusan mesyuarat MKT UMNO semalam, tindak tanduk keputusan dibuat berdasarkan tujuh tunjang kegagalan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Atas perkara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat ketetapan menarik balik dan menamatkan sokongan kepada Perdana Menteri, malah beliau turut mencadangkan Muhyiddin berundur secara terhormat.
Ketetapan dibuat itu sememangnya Muhyiddin belum lagi jatuh selaku Perdana Menteri kerana Perkara 11 (a) Ordinan Darurat masih lagi berfungsi.
Mungkin, apabila tamat proklamasi darurat, jika Muhyiddin tidak berjaya membuktikan sokongan majoriti dalam Parlimen, maka jawatan beliau terjejas.
Mungkin sebaliknya, pada masa dalam Dewan Rakyat nanti mampu meyakinkan sokongan Ahli Parlimen, maka beliau masih utuh sebagai Perdana Menteri. Namun, dari segi moral Muhyiddin telah terjejas dengan keputusan yang dibuat oleh UMNO semalam.
Dengan kenyataan “Berundur Secara Terhormat” menampakkan tindakan UMNO tidak menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina atas dasar suara Ahli Parlimen.
Tindakan yang berfokus kepada pengunduran Muhyiddin dengan diganti cadangan Perdana Menteri baharu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, jelas menunjukkan tingkah laku politik yang sangat cermat dan halusi.
Bertunjang dengan tujuh alasan yang munasabah berkait rapat kemaslahatan rakyat, memperlihatkan UMNO cuba mengubah kepada dimensi baharu keadaan yang hadapi oleh rakyat dan negara.
Walaupun awal-awal lagi Muhyiddin telah melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Kanan adalah sebagai tektikal menyulitkan lagi langkah Ahmad Zahid.
Namun, dengan kehalusan tindakan Presiden UMNO semalam, umpama pulang paku buah keras kepada Muhyiddin. Tindakan Ahmad Zahid itu menampakkan beliau cukup tegas dan berani dan keluar daripada kepompong kelemahan yang dihamburkan.
Selain itu, keputusan mengekalkan sokongan kepada gabungan PN hanya menukar Perdana Menteri telah memberi tamparan buat pemimpin yang tidak sealiran dengan Presiden UMNO.
Tiada lagi punca alasan berhelah untuk memakan kembali tindakan Ahmad Zahid, manakala penegasan perenggan akhir juga telah disebut tiada sokongan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, telah membenihkan kekuatan kembali kepada Ahmad Zahid, dek kerana dikaitkan dengan isu cikgu anak murid.
Dalam kenyataan itu juga, sama sekali tidak disebut kewujudan sokongan kepada Perdana Menteri sementara (interim). Ini menampakkan kejelasan tindakan MKT UMNO tidak ada niat menjatuhkan kerajaan atau membuat tindakan kacau ganggu kepada sistem demokrasi negara.
Mungkin kita akan merasakan sangat muak dan benci dengan orang politik. Namun begitulah, setiap orang ada peranan tugasnya. Memang itulah kerjanya, seperti mana orang berniaga akan gila dengan perniagaannya, sama juga tukang jahit akan buat kerja menjahitnya.
Cuma kita perlu terapkan kefahaman bahawa politik-ekonomi-sosial saling berkait antara satu sama lain. Kita tidak boleh mengasingkan secara suku-suku, politik yang stabil akan membentuk ekonomi negara kuat dan keharmonian rakyat terbentuk apabila ekonomi terurus dengan baik.
Apa yang penting, selepas ini kita kena jauhkan dan elaklah daripada pembentukan kerajaan secara majoriti tipis, cukup bahaya kepada negara dan kita.
Penulis, Mohd Ridzuan Ibrahim adalah penganalisis politik yang juga mantan Naib Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas