Home Dunia Haiti isytihar darurat

Haiti isytihar darurat

Claude Joseph. foto Agensi

PORT-AU-PRINCE – Presiden Haiti Jovenel Moise yang  ditembak mati oleh sekumpulan lelaki di kediaman peribadinya semalam telah mencetuskan kemarahan antarabangsa di tengah-tengah ketakutan akan kekacauan di negara Caribbean itu.

Pembunuhan itu mendapat kecaman dari Washington dan negara-negara jiran Amerika Latin ketika berlakunya keganasan di Port-au-Prince dalam beberapa bulan terakhir yang disebabkan oleh krisis kemanusiaan dan rusuhan politik yang semakin meningkat.

Gangguan ini telah menjadikan banyak daerah di ibu kota menjadi zon larangan.

Perdana Menteri Sementara, Claude Joseph dalam kenyataannya yang disiarkan menerusi televisyen mengisytiharkan keadaan darurat di tengah-tengah kekeliruan mengenai siapa yang akan mengambil alih pemerintahan negara ini.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet.

“Saya minta rakyat di negara ini kekal tenang kerana situasi dalam kawalan,” katanya.

Isteri presiden, Martine Moise, 53, turut ditembak dalam kejadian yang berlaku di kediaman pasangan itu di atas bukit Port-au-Prince.

Martine kini masih menerima rawatan.

Joseph berkata, maklumat awal mendapati kumpulan lelaki itu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Spain.

Mereka dilengkapi dengan senjata berat.

Joseph menyifatkan tindakan kejam kumpulan tersebut sebagai hina.

Setakat ini DEA belum memberi sebarang respons.

Joseph mengatakan polis dan tentera mengawal keadaan negara ini.

Jalan-jalan di ibu kota yang biasanya sibuk, tiba-tiba menjadi sunyi selepas insiden serangan ke atas presiden.

Malah, lapangan terbang antarabangsa Port-au-Prince ditutup. – MalaysiaGazette