Home Politik Tidak benar Presiden UMNO buat keputusan sendiri – Ahmad Zahid

Tidak benar Presiden UMNO buat keputusan sendiri – Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak benar propaganda dan persepsi yang kerap direka kononnya Presiden UMNO membuat keputusan sendiri untuk parti.

Sebaliknya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,  segalanya diputuskan secara berpelembagaan, musyawarah dan bijaksana berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan apa yang difikirkan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara malam tadi.

“Beginilah keindahan UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara. Sebuah parti demokratik berusia 75 tahun,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Artikel berkaitan:

Menurut Ahmad Zahid, terbukti juga UMNO bukan sebuah parti yang boleh berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

Malah, katanya, terbukti juga UMNO sebuah parti yang tegas dan jitu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Terbukti UMNO mendengar suara hati akar umbi parti dan memenuhi mandat mereka pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Ternyata UMNO parti yang akan terus berpegang dan memperjuangkan prinsip demokrasi berparlimen.

“UMNO akan terus bersama rakyat walau apa cabaran dan rintangan. Demi Malaysia tercinta,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendakwa keputusan MKT yang diumumkan Ahmad Zahid malam tadi tidak mencerminkan perkara sebenar yang berlaku dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh beberapa ahli MKT bahawa kenyataan media yang dibaca Ahmad Zahid telah disediakan sebelum mesyuarat berlangsung. – MalaysiaGazette