Home Seni Hidup Permaisuri Agong pun beli dalam talian

Permaisuri Agong pun beli dalam talian

Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUALA LUMPUR – Seorang penjual dalam talian terkejut apabila menerima pesanan daripada pembeli paling istimewa iaitu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi perkongsiannya di laman Facebook, wanita yang dikenali sebagai Faizah Rosdi itu tidak menyangka apabila pertama kali menerima pesanan daripada Tunku Azizah sendiri.

Melalui tangkap layar pesanan yang tular di laman sosial itu, jelas kelihatan nama Tunku Azizah yang beralamat di Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Namun tidak tercatat bila tarikh pesanan itu dibuat tetapi jumlah belian hanya RM44 tidak termasuk kos penghantaran dan fi serta caj.

“Semalam nak packing order tak perasan lagi nama dan alamat, elok periksa nama dan alamat terkejut jap. Tak sangka Permaisuri Agong yang order dan guna nama dia sendiri.

“Berdebar pula nak packing, dia order balang kaca je, balang biasa tak ada istimewa mana pun, macam penjual lain jual.

“Alhamdulillah mungkin rezeki saya dapat order dari Tuanku, sangat terharu, excited semua ada. Saya doakan bisnes kalian berjalan dengan lancar dan diperluaskan lagi rezeki,” tulis Faizah pada hantarannya.

Sementara, rata-rata pengguna Facebook memuji tindakan Tunku Azizah yang tidak segan silu membeli-belah secara dalam talian.

Malah ada juga berkata siapalah penghantar barangan yang bertuah dapat menghantar pesanan Tuanku Azizah di Istana Negara. – MalaysiaGazete