KUALA LUMPUR – Soal kesihatan penyanyi, Hafiz Suip terus menjadi tanda tanya apabila foto terbaharunya memperlihatkan bentuk badannya yang semakin susut.
Menyedari kebimbangan peminat, Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 31, memberitahu, apa yang menimpa dirinya telah menjadi faktor untuk dia berjumpa doktor sebelum ini.
“Assalamuailakum guys… ni sikit lagi nak kembang, tunggu gim buka sahaja.
“Sihat dan sakit kita ni Allah yang tentukan, bukan siapa-siapa yang tentukan termasuk diri kita. Tapi sebagai asbab untuk kita tahu, (sebab) itu kita jumpa doktor.
“So far, Alhamdulillah okay guys… dah jangan fikir banyak. Kita teruskan usaha kita, ” katanya menerusi Instagram.
Bersama kapsyen itu Hafiz berkongsi foto dia di depan cermin sambil menunjukkan otot di bahagian lengannya.
Dalam pada itu penyanyi laguĀ Kisah Cinta Kita itu turut berterima kasih di atas keprihatinan peminat terhadapnya dan turut mendoakan yang terbaik buat semua.
“Saya doakan semoga dipermudahkan segala urusan anda… terima kasih di atas keprihatinan kalian. Saya sayang kalian sampai jannah, InsyaAllah, ” tulisnya.
Sebelum ini, bapa kepada dua cahaya mata itu mendapat perhatian apabila memuat naik satu status di laman Instagram, memohon maaf di atas segala kesilapannya.
Menurut anak jati Kuching, Sarawak itu, dia berbuat demikian kerana takut dengan azab Allah di hari pembalasan kelak.
“Saya minta maaf jika pernah tersalah cakap, terkecilkan hati atau ada dendam yang tersimpan selama ini… maafkan saya.
“Ini bukan cerita sedih atau cerita dongeng… tapi hakikatnya saya takut azab Allah di mana suatu hari nanti apabila saya mati saya akan dihisab.
“Saya tidak minta lebih, cuma doakan yang baik dan saya minta kalian bermodalkan lima minit sahaja, ada masalah… dua rakaat minta dengan Allah, itu sahaja, ” katanya. – MalaysiaGazette