Home Politik Segerakan Bantuan Khas Covid-19, jangan tunggu bulan Ogos – Asyraf

Segerakan Bantuan Khas Covid-19, jangan tunggu bulan Ogos – Asyraf

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Segerakan Bantuan Khas Covid (BKC) dan jangan tunggu bulan Ogos.

Itu salah satu daripada 10 permintaan Pergerakan Pemuda UMNO kepada kerajaan untuk menambah baik bantuan kepada rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan jangan berkira sangat dan diminta meluluskan sahaja kedua-dua kategori penerima BPR/BKC dan penerima GKP-Geran Khas Prihatin.

“Ramai mengadu dinafikan BPR/BKC kerana GKP sedangkan GKP untuk bantu perniagaan terjejas sedangkan BPR/BKC lebih kepada keperluan menampung kehidupan diri dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, menurutnya, permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.

“Kerenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250,” ujarnya.

Menurut Asyraf, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar mengambilkira data terkini kerana ramai dalam kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0.

“Data pembayaran cukai 2020 tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan majoriti rakyat,” katanya.

Kerajaan juga, katanya, wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40 kerana nilai RM250 terlalu sedikit dalam keadaan rakyat sudah sampai ke peringkat terdesak.

“Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara lump sum berbanding berkala setiap bulan dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum, contohnya RM10,000 bagi yang ada simpanan RM100,000 ke atas atau lebih tinggi berkadaran dengan jumlah simpanan dalam Akaun KWSP.

“Benarkan akses kepada Akaun 1 KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui karenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Asyraf berkata, kerajaan kena membenarkan akses kepada golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang akibat daripada pendapatan yang terjejas secara mendadak.

“Selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh Bank-Bank dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat memilih moratorium.

“Perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan termasuk LPPSA,” ujarnya.

Selain itu, bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar akibat PKP 3.0 yang berpanjangan dan tiada berkesudahan juga perlu diambilkira.- MalaysiaGazette