Home Sukan Yuganes idam ikut jejak Arumugam

Yuganes idam ikut jejak Arumugam

G Yuganes (jersi oren).

KUALA LUMPUR – Kelibat penjaga gol berusia 22 tahun, G. Yuganes bersama Perak FC II musim ini menarik perhatian apabila muncul antara penjaga gol kedua terbaik yang berjaya mencatatkan clean sheet tertinggi pada saingan Liga Premier.

Diturunkan dalam lima perlawanan daripada 10 perlawanan setakat ini, bakat penjaga gol yang dicungkil dari MIFA  semasa berusia 17 tahun berjaya mendapatkan tiga clean sheet untuk berada di belakang penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee.

Bagaimanapun, pemain yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu belum berpuas hati dengan apa yang dicapainya.

Dia merasakan perjalanannya untuk bergelar antara penjaga gol terkemuka dan dikenali ramai, masih terlalu jauh.

Dia juga mahu berharap mahu mengikuti jejak langkah penjaga gol legenda negara, R. Arumugam pada satu hari nanti yang merupakan idolanya dalam dunia bola sepak.

“Setakat ini, saya banyak melakukan penggiliran dengan seorang lagi penjaga gol, Muhammad Farhan Abdul Majid dan apabila peluang diberikan oleh jurulatih, saya akan berikan segala-galanya.

“Saya gembira kerana tiga daripada lima perlawanan dilalui, saya mampu memastikan gawang tidak dibolosi dan harap ia mampu jadi permulaan yang baik memandangkan ini tahun pertama saya di Liga Premier.

“Kalau boleh saya mahu lebih banyak lagi perlawanan dalam baki yang ada dan harap permulaan di Perak II akan menjadi batu loncatan dalam mengembangkan karier kerana sasaran saya mahu bermain di Liga Super pada masa akan datang.

“R. Arumugam menjadi antara ikon saya dalam bola sepak dan saya harap mampu menjadi sepertinya satu hari nanti. Buat masa ini tidak ramai penjaga gol berbangsa India yang menyinar seperti dulu, saya berhasrat mahu mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

Yuganes sebelum ini ketika bermain bersama MIFA pernah mendapat panggilan menyertai skuad Bawah 19 tahun negara pada empat tahun lalu ketika di bawah kendalian Bojan Hodak.

Dia juga pernah mendapat tunjuk ajar oleh penjaga gol berpengalaman, V Murugan semasa di MIFA pada tahun 2018 sebelum memilih haluan bersama skuad Piala Presiden Perak yang dikendalikan K Nanthakumar pada tahun berikutnya.

Yuganes dalam pada masa sama optimis Perak II mampu bangkit bagi hadapi baki saingan yang memperlihatkan mereka pada masa ini sekadar di tangga kedua terakhir Liga Premier.

Rombakan pasukan membabitkan kemungkinan tambahan pemain import akan menguatkan cabaran Perak II bagi meletakkan sekurang-kurangnya mereka mampu berada dalam kalangan pasukan di pertengahan liga.

“Sebelum ini kami memang menggunakan 100 peratus pemain tempatan kerana Sergio Aguero banyak membantu Perak FC di Liga Super.

“Namun saya rasa kami tetap bermain baik kerana berjaya mendapatkan dua kemenangan dan tiga keputusan seri dengan menggunakan majoriti pemain muda.

“Selepas menang perlawanan persahabatan dengan Penang FC tempoh hari, keyakinan pasukan semakin meningkat malah dengan jangkaan kehadiran pemain import mampu perkuatkan lagi kekuatan kami, ” katanya. – MalaysiaGazette