SURFSIDE, FLORIDA – Angka kematian dalam runtuhan menara kondominium di Miami meningkat kepada 79 selepas petugas-petugas penyelamat mengeluarkan 14 mayat lagi daripada runtuhan.
Kerja-kerja membersihkan kawasan runtuhan hampir selesai dan sudah hampir dengan aras tanah.
Penemuan itu menjadikan baki angka korban menjadi 61 orang.
Mereka yang masih hilang dikhuatiri berada di bawah runtuhan konkrit dan keluli di bangunan tepi laut 12 tingkat di Surfside, kata Datuk Bandar Miami-Dade County, Daniella Levine Cava pada sidang akhbar petang.
Bilangan yang hilang dapat berubah kerana bukan semua berada di bangunan tersebut ketika kejadian berlaku pada 24 Jun lalu.
Krew yang bekerja sepanjang waktu selama 16 hari telah mengurangkan jumlah imbunan dari empat atau lima tingkat ke hampir permukaan tanah.
Usaha mengesan mangsa terperangkap dipercepatkan sejak bahagian bangunan itu dirobohkan, sekali gus membolehkan akses yang lebih besar ke dalam runtuhan, selain penggunaan lebih banyak jentera berat.
Setakat ini penyiasat belum mengenal pasti punca runtuhan Champlain Towers South yang menyembah bumi tanpa amaran.
Namun, perhatian telah tertumpu pada laporan kejuruteraan 2018 yang memberi amaran mengenai kekurangan muatan struktur.
Berikutan keruntuhan itu, penduduk sebuah kondominium berdekatan, Crestview Towers, turut diminta meninggalkan kediaman masing-masing selepas jurutera mendapati masalah konkrit dan elektrikal serius. – MalaysiaGazette