Home Nasional Mana Ahli Parlimen Puchong?

Mana Ahli Parlimen Puchong?

PUCHONG – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada

Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu golongan terjejas di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan mengerahkan setiap wakil rakyat kawasan masing-masing.

Bagaimanapun ada juga pihak resah dan bimbang apabila bantuan bakul makanan itu tidak diperolehi atau kesukaran untuk menghubungi wakil rakyat di kawasan tertentu.

Seorang warga Puchong juga merupakan pegawai khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Subash Chandrabose melahirkan keresahan masyarakat setempat yang terjejas namun tidak mendapat bantuan bakul makanan.

Tulis Subash dalam laman sosial Facebook  berkata, dia sentiasa dicari oleh pihak-pihak yang terjejas untuk mendapatkan bakul makanan.

Namun ketika ini beliau telah habis sumbangan bakul makanan yang diperuntukkan kepadanya melalui pejabat Kementerian Wilayah.

“Salam sejahtera, kini saya tidak mampu lagi membantu beri sumbangan kerana pejabat kami terima panggilan untuk bantuan setiap hari.

“Saya sarankan supaya semua hubungi ahli Parlimen masing-masing kerana kerajaan telah menyalurkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen membantu rakyat di kawasan masing-masing. Anda boleh hubungi mereka, terima kasih,” tulisnya.

Dalam pada itu, Subash juga turut menyoal keberadaan Ahli Parlimen Puchong,  Gobind Singh Deo yang turut dicari oleh kebanyakan penduduk terjejas di kawasan tersebut.

“Mana MP Puchong???

“Mana bantuan bakul makanan untuk warga Puchong,” soalnya. -MalaysiaGazette