KUALA LUMPUR – Tindakan melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan diharap memberi nafas baharu dalam pengurusan pandemik di Malaysia yang menyaksikan peningkatan kes meskipun dikenakan pelaksanaan ‘full lockdown’ sejak Jun yang lepas.
Jaringan Naib Naib Ketua Pemuda UMNO 2018 (KAGUM) yang gusar dengan kedudukan corot Malaysia dalam laporan Bloomberg dan Economist dalam ranking pemulihan pasca Covid-19 ke arah kembali normal serta menangani pandemik Covid-19 berharap pelantikan itu usaha baharu memenuhi keperluan rakyat dapat dilaksana.
Ketua Biro Politk dan Hal Ehwal Semasa KAGUM, Mohd Hafiz Abd Rahman berkata, antara keperluan rakyat itu termasuklah memansuhkan caj faedah terhadap sebarang permohonan moratorium kerana rakyat tidak dapat memilih untuk kembali bekerja, mempercepatkan bantuan kewangan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang memohon.
Selain itu, mengkaji semula SOP yang tidak munasabah, membebankan dan tidak mengurangkan kadar keberjangkitan, menutup kilang dan tempat kerja yang menyumbang kepada kluster terbesar.
KAGUM juga mahu penetapan tempoh pilihan raya dibuat agar tiada lagi permainan politik, menggunapakai kuasa darurat dan memaksa hospital swasta menerima pesakit daripada hospital kerajaan supaya mengelakkan limpahan keluar pesakit tanpa mengenakan caj yang tinggi dan menunaikan janji agar rakyat yang telah divaksinasi penuh dapat menggerakkan sektor pelancongan dan industri yang lumpuh.
”Saya amat yakin dengan perlantikan dua tokoh dari UMNO dapat memperkemaskan jentera kerajaan sedia ada di dalam memerangi pandemik ini serta dapat memberi stability terhadap suasana politik negara.
”Kestabilan ini penting agar keyakinan pihak luar terhadap negara kita dapat dikembalikan ke tahap yang sepatutnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette